KUALA LUMPUR, 18 Ogos 2015 – Barisan artis popular akan memeriahkan Festival Filem Malaysia ke-27 (FFM27) yang akan berlangsung pada 2 September – 5 September ini.
Malam kemuncak FFM27 yang akan diadakan di Dewan Plenary, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) akan menampilkan Nabil Ahmad dan Sherry Al-Hadad sebagai pengacara.
Along Cham dan Zulin Aziz pula akan bertindak selaku pengacara pada malam perasmian pada 2 September di Symphony Lake Suite, KLCC. Sepuluh anugerah awal turut disampaikan pada malam perasmian.
Antara artis yang akan menyampaikan anugerah pada malam kemuncak ialah Christina Suzanne, Izzue Islam, Aziz M. Osman, Zizie Ezzette, Syafie Naswip dan Scha Alyahya. Syafiq Yusof, Nur Fazura, Datuk Eizlan Yusof, Hans Isaac, Raja Ema, Datuk Yusof Haslam, Yana Samsudin, Liyana Jasmay, Sharifah Amani, Vanidah Imran, Shaheizy Sam, Datin Sofia Jane, Erma Fatima, Datin Paduka Shuhaimi Baba, Pansha dan beberapa lagi.
Malam kemuncak akan dihiasi dengan persembahan artis popular antaranya, Misha Omar, Indah Ruhaila, Hazama, Najwa Mahiaddin, Joe Flizzow, SonaOne, Amir Jahari dan Amy (Search).
Pengerusi Jawatankuasa Induk FFM 27 merangkap Ketua Pengarah FINAS, Dato’ Kamil Othman berkata, sebanyak 140 pencalonan melibatkan 56 buah filem merangkumi 24 kategori termasuk kategori Filem Bukan Dalam Bahasa Melayu Terbaik dipertandingkan pada tahun ini.
Karya-karya yang layak bertanding adalah filem-filem yang telah ditayangkan dari Januari 2014 sehingga Disember 2014. Kali ini tema FFM27 ialah #Sehati Sejiwa, meneruskan tema sambutan bulan kemerdekaan yang masih berterusan.
Sementara itu, pemenang FFM27 tidak lagi diberi ganjaran dalam bentuk wang tunai sebaliknya penghargaannya dijelmakan melalui rekaan baru trofi yang terdapat satu kepingan emas 916.
Pihak penganjur mahu penerima lebih menghargai anugerah berkenaan apabila pada bahagian trofi itu ada satu kepingan emas.
Rekaan trofi baharu lebih padu dan antara lain rekaannya menggambarkan kesatuan dalam perfileman. Sesebuah filem yang dilancarkan ada kekuatan sendiri selain mempunyai nilai yang berprestij terhadap industri filem.
“Kita tak nak sesebuah penghargaan itu dengan duit tapi kita nak dalam bentuk lain yang lebih tinggi nilainya. Dengan cara ini kita lihat pemenang itu akan merasa lebih dihargai,” kata Pengarah Jawatankuasa Induk FFM27, Datuk Fauzi Ayob.
FFM27 akan disiarkan secara langsung menerusi saluran Astro Ria dan Ria HD pada pukul 9.00 malam. Astro merupakan penyiar rasmi bagi FFM27.
FFM27 turut mendapat kerjasama penajaan daripada Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), Meesha Sukir, Forty Empire, Prokuya Studious, Ayana By Yana Samsudin, Daily Seni, Ultra FM dan lain-lain.
Sementara itu Persatuan Wartawan & Penulis Hiburan Malaysia (WHAM) turut bekerjasama sebagai rakan promosi untuk memeriahkan promosi berkaitan FFM27.
Foto: Shahriman Jimin, Iyda Jame,
Unit Media