SUNGKAI, 10 November 2017 – Program “Buy The Future” yang telah berlangsung selama 10 hari bermula 1 November sehingga 10 November 2017 telah berjaya dilaksanakan di Felda Trolak Dewan Semai Bakti dengan menyaksikan majlis penutupan dan penyampaian sijil program yang telah dirasmikan YB Dato’ Mohd Khusairi Abdul Talib, Pengerusi FINAS pada hari ini.
Program tersebut dijalankan hasil kerjasama di antara Ikatan Seni Komuniti Felda (ISKAF) dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS). Seramai 30 orang peserta yang terdiri daripada belia anak Felda telah didedahkan dengan pelbagai aktiviti di belakang tabir seperti Pengurusan Produksi, Penata Seni, Teknikal, Kamera, Pencahayaan & Audio, Pengarahan, Tatarias, Kesan Khas serta bengkel Keberkesanan Penggunaan Media Sosial.
Program pemacuan tersebut berfungsi untuk membuka minda dan peluang kepada anak-anak muda tentang Industri Kreatif Malaysia dari aspek kerjaya dan juga pendedahan berkenaan industri kreatif. Antara tenaga pengajar yang menjadi mentor dalam program tersebut ialah Azharul Azmir, Iskandar Zulkarnain, Fieza Ibrahim, Raja Mukhriz, Azhar Zainal, Saiful Zul Arief dan Faizal Lockman.Selain pelbagai bengkel perfileman yang disertai, para peserta turut dilibatkan dalam produksi supertelefilem bertajuk ‘Malik’ sebagai tugasan praktikal mereka yang turut dibintangi pelakon hebat kelahiran Felda, Que Haidar.
Turut hadir tetamu kehormat Tuan Anuar Malik, Timbalan Pengarah Besar (pembangunan komuniti) FELDA , YBhg. Dato’ Azmir Mutalib, Timbalan Ketua Pengarah FINAS, Tn Hj Abdul Khalid Bin Maulod Pengarah Pembangunan Industri FINAS, Encik Jalil Hamid, President Ikatan Seni Komuniti FELDA (ISKAF) Encik Nik Hasrul Bin Mohd Zainuddin Pengarah Jabatan Inovasi & Pembangunan Generasi Baharu FELDA serta dimeriahkan lagi dengan kehadiran masyarakat setempat FELDA Trolak Utara.