Jakarta, 6 Jan – Di dalam inisiatif pemerkasaan sinergi industri di antara Malaysia dan Indonesia melalui program jaringan diplomasi serantau, Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN) di bawah kepimpinan Presidennya, Zed Zaidi dan barisan exco telah mengadakan kunjungan hormat ke Jakarta, Indonesia bermula 7-9 Januari 2018. Berobjektifkan pembangunan kerjasama strategik dua hala Malaysia-Indonesia melalui platform ‘cultural diplomacy’, Zed Zaidi yakin akan kepentingan peranan signifikan SENIMAN di Malaysia dan serta rakan strategik seperti Kementerian Pendidikan dan Kebudayaan Indonesia berserta Persatuan Karyawan, Filem dan Televisi Indonesia sebagai jambatan kepada pengukuhan usaha-usaha kerajaan kedua-dua negara membangunkan hub industri kreatif di rantau ini.
Program seumpama ini penting kepada SENIMAN untuk memperkasakan komunikasi strategik dua hala bersama para pemain industri di Indonesia melalui perwakilan kerajaan dan persatuan seni mereka dengan perbincangan fokus kepada dasar dan polisi, akta dan perundangan, permit dan dokumentasi, kerjasama pasaran dan pelaburan, modal insan, ekosistem industri, kerjasama produksi dan lain-lain yang di bawah sektor industri kreatif” ujar Zed yang turut membincangkan pembangunan jaringan kerjaya dan potensi kerjasama yang lebih luas yang harus dibuka kepada anak-anak seni Malaysia di Indonesia.
Menurut Koordinator Pusat Pengembangan Filem Kementerian Pendidikan dan Kebudayaan Indonesia, Marlina Yulianty berkata, kekuatan persaudaraan dan nilai serumpun di antara kedua-dua negara juga mampu diterjemahkan melalui peluang yang turut diberikan kepada selebriti Malaysia di dalam produksi Indonesia melalui nama-nama seperti Chew Kin Wah, Bront Palarae, Fazura dan lain-lain lagi. Beliau turut mengharapkan kunjungan hormat di Kuala Lumpur pada bulan Mac ini akan terus memperkasakan hubungan diplomatik yang sudah lama terbina di antara dua negara.
Selain perbincangan dan lawatan interaktif ke pusat seni dan filem, delegasi SENIMAN turut bertukar-tukar pandangan bersama barisan karyawan Indonesia termasuklah pelakon veteran terkenal, Roy Marten serta Aty Cancer serta pengarah produksi filem negara itu, Adisurya Abdy dan Tarmizi Abka.