Kuala Lumpur, 8 Januari – Selepas fenomena filem Ayat-Ayat Cinta pada tahun 2008, sutradara Guntur Soeharjanto kembali menggarap sekuel Ayat-Ayat Cinta 2 yang mengangkat kisah cinta dan pengorbanan. Filem yang diterjemahkan melalui novel Ayat-Ayat Cinta 2 hasil penulisan Habiburrahman El Shirazy ini menampilkan barisan pelakon seperti Tatjana Saphira, Dewi Sandra, Chelsea Islan, selain mengekalkan pelakon asal, Fedi Nuril yang memegang watak Fahri Abdulla. Filem ini juga turut menampilkan pelakon tanah air Fazura dan Bront Palarae. Filem terbitan MD Pictures telah menjalani penggambaran di sekitar Indonesia dan juga Scotland.
Filem yang telah ditayangkan di Indonesia pada 21 Disember lalu ini bakal menemui penonton di Malaysia pada 11 Januari nanti.
DYMM Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin Abd Rahman mencemar duli menghadiri tayangan Filem Ayat-ayat Cinta 2 dan turut diserikan dengan kehadiran YAM Tengku Puteri Seri Kemala Pahang, Tengku Aisyah binti Sultan Hj.Ahmad Shah, YBhg. Dato’ Fauzi Ayob, Ketua Pengarah FINAS, para penerbit filem, rakan-rakan artis dan para media tempatan.