Kuala Lumpur, 3 Februari – Kuala Lumpur Film School (KLFS) dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) telah menganjurkan program apresiasi filem tempatan dan ASEAN melalui sesi Bicara Filem bersama pengarah filem, U-Wei HjSaari dan tetamu undangan, pengkritik dan karyawan filem, Encik Hassan Muthalib di Kuala Lumpur Film School (KLFS) petang tadi dengan tayangan dan apresiasi filem ‘One Hour to Daylight’ dari Singapura.
Program sinergi ilmu dan pembangunan intelektual ini telah meneroka aspirasi, falsafah, ideologi dan nilai di sebalik karya ‘One Hour to Daylight’ (2016) arahan Jonathan Choo, Sufiyan Sam’an, Jacky Lee dan D. Vel Murugan mengenai persoalan sosial dan budaya yang berlaku melalui pertembungan norma dan nilai masyarakat di sebuah komuniti moden di Singapura yang telah mencipta impak perhubungan dan komunikasi.
Turut hadir di program hari ini adalah YBrs. Tuan Haji Abd. Khalid Maulod, Pengarah Bahagian Pembangunan Industri FINAS, karyawan filem, ahli-ahli akademik dari institut pengajian tinggi awam dan swasta, para penggiat seni, dan tetamu jemputan yang lain.