Sekitar Program Tayangan dan Bual Santai Wayang@Budiman, dengan kerjasama Kelab Seni Filem Malaysia menampilkan slot istimewa filem era 1970-an hasil garapan Lino Brocka, seorang sutradara tersohor Filipina. Sesi tayangan dan bual santai ini telah diadakan di HELP College of Arts and Technology, Kompleks Metro Pudu, Kuala Lumpur. Melodrama klaustrofobik berjudul Insiang yang mengambil tempat di daerah setinggan Manila ini memfokuskan hubungan tegang antara seorang anak gadis dengan ibunya yang bersifat amarah. Insiang bangkit membalas dendam apabila dirogol oleh kekasih ibunya dan selepas ditinggalkan teman lelaki yang dipercayainya. Ini adalah filem pertama yang telah membawa sinema Filipina ke Festival Filem Cannes.
Hadir sama dalam program perkongsian ilmu ini adalah Dr. Norman Yusoff, Ketua Program Pasca Siswazah, Fakulti Filem, Teater dan Animasi (FITA) UiTM dan pelajar-pelajar perfileman.