Kuala Lumpur, 29 September – Kuala Lumpur Film School (KLFS) dengan kerjasama Persatuan Sutradara Malaysia (FDAM) dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) sekali lagi berganding bahu menganjurkan program perkongsian ilmu dan pembangunan apresiasi sinema melalui program Bicara Filem KLSF: Perspektif Pembikin Filem (Siri Pengarahan Filem) yang diterajui oleh pengarah dan karyawan filem, U-Wei Hj Saari di KLFS, Wangsa Melawati. Menampilkan filem seram thriller, ‘Dukun’ arahan Pengarah Terbaik FFM25 dan FFM29, Dain Said yang turut hadir bagi sesi perkongsian ilmu dan apresiasi sejurus tayangan, filem ini telah dikupas secara ilmiah daripada perspektif pembikinan dan pengarahan, falsafah, cabaran, aspirasi dan impak kepada penonton.
‘Dukun’ terbitan Astro Shaw yang dibintangi Datin Seri Umie Aida, Adlin Aman Ramli, Namron, Faizal Hussein, Bront Palarae, Nadiya Nisaa, Mislina Mustafa, Soffi Jikan, Hasnul Rahmat, Elyana dan ramai lagi ini telah mencipta fenomena tersendiri dengan kutipan pecah panggung melebihi RM10juta tahun ini selepas 12 tahun tersimpan berjaya menarik perhatian penganjur festival filem dunia apabila terpilih sebagai ‘Official Selection’ mewakili Malaysia di 51st Sitges International Fantastic Film Festival yang berlangsung dari 5-14 Oktober 2018 di Catalona, Sepanyol nanti. Terdahulunya menembusi 17th New York Asian Film Festival (NYAFF) tahun ini bersama 58 buah filem yang mewakili seleksi sinema Asia, ia turut diumumkan sebagai ‘Official Selection’ di 12th Five Flavours Asian Film Festival, Warsaw, Poland pada bulan November ini