Shah Alam, 11 Januari – Pusat Kajian dan Apresiasi Filem menerusi Program Tayangan dan Bual Santai Wayang@Budiman di Shah Alam kali ini terus hadir meneroka perspektif ilmu dan pembangunan apresiasi sinema menerusi Slot Gelombang Baharu Kanto melalui filem ‘As Tears Go By’ (1988) arahan sulung sutradara ternama Hong Kong, Wong Kar-Wai.
Filem genre aksi ini dibintangi pelakon-pelakon seperti Andy Lau, Maggie Cheung dan Jacky Cheung yang menonjolkan spektrum kemanusiaan di sebalik ‘kekelaman’ bernaratifkan seorang gangster yang berjuang membantu rakannya dari terjebak dengan konflik kehidupan di kota yang dipenuhi sisi hitam seperti jenayah. ‘As Tears Go By’ pernah memenangi 2 anugerah di 8th Hong Kong Film Award (1989) menerusi kategori ‘Best Supporting Actor’ dan ‘Best Art Direction’ dan pernah dicalonkan di ’25th Golden Horse Film Festival’ (1988) menerusi kategori ‘Best Director’.
Program yang diterajui Dr. Norman Yusoff, Ketua Program Pasca Siswazah, Fakulti Filem, Teater dan Animasi (FITA) UiTM ini telah dihadiri oleh pensyarah dan pelajar perfileman serta komuniti filem yang turut berkongsi perspektif mereka terhadap filem ini.