Hulu Kelang, 12 Mei 2015 – Seramai 50 orang pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM) dari jurusan Ijazah Sarjana Muda Industri Kreatif Kepujian beserta tiga pensyarah pengiring telah mengunjungi FINAS. Seperti kelaziman, mereka dibawa melawat ke semua studio dan sedikit taklimat ringkas diberikan tentang kemudahan peralatan dan sewaan yang terdapat di FINAS.
Tujuan lawatan adalah untuk memberi pendedahan kepada pelajar mengenai proses pengeditan serta kesan khas menggunakan kemudahan yang ada di FinasPost. Pada awalnya, mereka telah mengunjungi Pitching Centre bagi pembentangan skrip filem pendek yang berdurasi selama 30 minit sebagai projek akhir penulisan skrin. Sesuai dengan jurusan yang diambil, pelajar ini sangat berminat untuk mengetahui lebih lanjut tentang proses-proses penyuntingan serta mengetahui halatuju perkembangan industri kreatif. Lawatan diakhiri dengan jamuan petang bertempat di cafeteria.