KUALA KANGSAR, 4 Jun– Ketua Pengarah FINAS, Dato’ Kamil Othman menyifatkan pembangunan teknologi kandungan akan menyokong kepada pembudayaan kreativiti di kalangan rakyat Malaysia tanpa batas dan sempadan usia. Merujuk kepada strategi transformasi FINAS mengerakkan jentera ekonomi industri, ia seharusnya dilihat sebagai pelan jangka panjang dengan sistem sokongan komprehensif bagi membangunkan industri kreatif selaras dengan aspirasi dan visi kerajaan untuk rakyat. Ujar beliau lagi, “Rakyat Malaysia sekarang kebanyakannya mengenali jenama animasi tempatan Upin dan Ipin serta BoboiBoy yang membuktikan potensi pembangunan teknologi dan kreativiti anak Malaysia di dalam mempromosikan budaya dan cerita tempatan bersifat global”.
Justeru, penyertaan FINAS seumpamanya di Program Karnival Komuniti 1Malaysia anjuran Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) dan Jabatan Penerangan Malaysia ini adalah platform strategik kerana dapat turun padang bagi mempromosikan teknologi pendigitalan sistem arkib melalui operasi Mediatheque FINAS yang mampu menaiktaraf bahan audio visual sejarah negara. Selain mewujudkan sinergi bersama komuniti luar bandar melalui program ini, ia juga menyediakan ruang informasi dua hala bagi mereka mendapatkan input secara langsung mengenai program-program pembangunan kemahiran kreatif FINAS dan dana-dana untuk pembangunan kandungan melalui operasi Content Malaysia Pitching Centre. Turut hadir bersama delegasi FINAS ialah Timbalan Ketua Pengarah (Produksi dan Komunikasi), Dato’ Fauzi Ayob yang juga menyokong peranan FINAS bagi membangunkan komuniti kreatif di luar bandar melalui kerjasama erat bersama rakyat.