KUALA LUMPUR, 2 Jun – YB Dato’ Mohd Khusairi Abdul Talib, Pengerusi FINAS telah menyatakan kepentingan pembangunan kandungan di dalam penerbitan dokumentari sebagai wadah percambahan ilmu khususnya yang melibatkan kajian dan penyelidikan sejarah bangsa dan negara. Beliau yang ditemui semasa pelancaran penerbitan filem cereka dokumentari “Panglima Awang” terbitan Yayasan Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI) yang menonjolkan kajian sejarah keperwiraan Panglima Awang atau Henry of Malacca berbangsa Melayu dari sejarah negeri Melaka yang menjadi manusia pertama mengelilingi dunia turut menjelaskan, “Kita harus membina generasi muda hari ini yang berilmu dengan sejarah bangsa dan negara supaya ia boleh memangkin pembangunan jatidiri dan sifat kenegaraan mereka di masa hadapan”.
Majlis yang turut dihadiri oleh Pengerusi Yayasan DMDI, YB Senator Tan Sri Hj. Mohd Ali Hj Mohd Rustam ini akan melibatkan penggambaran selama 5 bulan di lima buah negara, Malaysia, Portugal, Sepanyol, Chile, Filipina dan Argentina bagi mendapatkan bukti dan artifak berkaitan kehebatan Panglima Awang yang belayar mengelilingi dunia. Selain itu, FINAS juga melihat potensi dokumentari sebagai kandungan eksport yang harus diterokai sepenuhnya kerana bersifat universal dan merentas budaya. Menurut Ketua Pengarahnya, Dato’ Kamil Othman, dokumentari berorientasikan sejarah mempunyai banyak perspektif yang boleh difokuskan sebagai subjek cerita dan mampu mengalakkan kerjasama penyelidikan dan penerbitan antarabangsa untuk pasaran global.