Langkawi, 7 Disember – Di dalam aspirasi pembangunan galakan pelaburan dalam negara (inward investment) selain pembangunan modal insan dan pemerkasaan kemahiran profesional tenaga belakang tabir, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) telah bekerjasama dengan Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) dan Pertubuhan Inovasi Digital Malaysia (PIDM) bagi menganjurkan Bengkel Intensif Koordinasi Pengurusan Logistik Perfileman Langkawi bermula 2 Disember 2018 sehingga 6 Disember 2018 di Hotel Adya, Langkawi.
Di bawah inisiatif ‘Pembangunan Profesionalisme Karyawan Industri’, program perkongsian Ilmu secara interaktif ini memfokuskan pengetahuan asas pengurusan produksi dan kemahiran yang diperlukan sebagai kru penggambaran melalui teori dan praktikal untuk melahirkan tenaga kerja mahir dalam bidang pengurusan produksi dan sektor kerjaya hiliran. Selain itu tujuan bengkel ini diadakan adalah bagi melatih dan melahirkan pengurus produksi, pengurus lokasi, pengurus logistik profesional dan ‘production support team’ yang mampu menjana kepada pembangunan Malaysia melalui lokasi-lokasi penggambaran bertaraf dunia sebagai hub ‘cinematic tourism’ dan industri hiliran.
Majlis penutup program telah disempurnakan oleh Encik Razaidi Abdul Rahim, Pengurus Bahagian Pelancongan Langkawi LADA selain sokongan kehadiran Encik Mohd Khairul Anuar Mohd Yusof, Setiausaha Politik kepada YB Tuan Firdaus Ahmad, ADUN Kuah, Encik Azharul Azmir Kamarulzaman, Pengerusi PIDM, YBhg. Dato’ Sri Shukri Mohd Nadzir, Timbalan Pengerusi Pertubuhan Industri Pelancongan Langkawi. Turut hadir adalah pegawai-pegawai FINAS iaitu Puan Zuramashana Zakaria, Ketua Penolong Pengarah Latihan Industri, Cik Tengku Noraiza Tuan Ibrahim, Penolong Pengarah Pelesenan, Encik Ahmad Azhar Md. Kassim, Penolong Pengarah Film In Malaysia Incentive (FIMI), Encik Ku Badlisyah Mohd Noor, Pegawai Eksekutif Film In Malaysia Incentive (FIMI), Cik Syaizawati Zainal, Pegawai Eksekutif Latihan Industri dan jemputan lain.