Kuala Terengganu, 12 Oktober – Di dalam aspirasi pembangunan modal insan dan pemerkasaan potensi bakat penggiat kreatif, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) dan Malaysian Society Of Cinematographers (MySC) dengan kerjasama Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN), Persatuan Sutradara Malaysia (FDAM) dan Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia (PROFIMA) telah menganjurkan Bengkel ‘Underwater: Open Water Dive & Advanced’ selama 4 hari dari 8-11 Oktober 2018 di Tenggol Coral Beach Resort, Kuala Dungun,Terengganu.
Di bawah inisiatif ‘Pembangunan Kemahiran Profesional Bakat Industri’, program eksplorasi ilmu secara interaktif ini telah memberi pendedahan kepada 25 orang peserta mengenai teori, teknik dan integrasi kemahiran penggambaran filem dalam air melalui kaedah selaman ‘open water’ dan ‘advanced water dive’. Para peserta ‘advanced water dive’ juga telah diberi peluang untuk menghasilkan satu video pendek yang telah ditayangkan di majlis penutup dan penyampian sijil.
Turut hadir menyempurnakan majlis penutup dan penyampaian sijil ialah Puan Zuramashana Binti Zakaria, Ketua Penolong Pengarah Unit Latihan Industri, tenaga pengajar, dan para peserta bengkel.