Kuala Lumpur, 7 September – Mengangkat kisah pengorbanan dan keikhlasan seorang insan yang bergelar ayah, filem terbaru ‘Bisik Pada Langit’ arahan Khabir Bhatia ini berjaya menyentuh hati para penonton dalam satu majlis tayangan ekslusif yang diadakan di GSC Pavilion tadi. Filem yang membawa penceritaan berteraskan kekeluargaan, cinta dan persahabatan ini menampilkan gandingan Jalil Hamid sebagai teraju utama dengan watak seorang ayah (Wak Selamat) disamping Ummi Nazeera sebagai anaknya (Siti Hajar), Beto Kusyairi, Erwin Dawson serta Naiem Daniel.
Filem yang menjalani penggambaran di Perth, Astralia ini turut mengetengahkan elemen sinematografi dari sentuhan pengarah fotografi tersohor tanah air, Norhanisham Muhammad (Labu). Khabir Bhatia dalam kenyataannya juga menekankan lagu tema khas dendangan Akim & The Majistret berjudul ‘Lygophobia’ dalam filem ini turut memainkan peranan utama sebagai pelengkap sesebuah karya.
Filem terbitan Astro dan Nusantera Seni Karya Sdn Bhd ini bakal ditayangkan diseluruh negara pada 21 September 2017 nanti. Selain penerbit, barisan pelakon, rakan-rakan artis dan ramai lagi karyawan industri serta pihak media, YB Dato’ Mohd Khusairi Abd Talib, Pengerusi FINAS turut hadir memberi sokongan dalam majlis tadi. Akim & The Majistret turut menghiburkan penonton dengan menyampaikan persembahan lagu tema khas filem tersebut sebelum sesi tayangan bermula.