Hulu Kelang, 5 Oktober-Program ‘4th Young Filmmakers & Digital Content Forum’ anjuran Institut Kesenian & Kajian Media Malaysia (SEMESTA) dengan kerjasama FINAS telah diadakan di Pawagam Mini P. Ramlee, FINAS, Hulu Kelang. Program yang diadakan sebagai platform sinergi industri karyawan muda dengan komponen pembangunan ilmu, perkongsian kepakaran dan eksplorasi seni ini dihadiri penggiat dan karyawan filem serta para pelajar perfileman.
Program yang bermula dengan ‘Forum 1: Voices from the East – Stories from Sabah and Sarawak’ dengan dipegerusikan Fikri Jermadi telah meneroka aspirasi dan ideologi karyawan Sabah dan Sarawak yang berjuang membangunkan industri kreatif melalui produk seni mereka, karyawan muda yang juga pemenang anugerah Nadira Ilana, Putri Purnama Sugua serta Jasmine Suraya Chin.
‘Forum 2: Humble Beginnings – The Young Filmmakers of Malaysia’ diteruskan dengan sesi kedua yang melibatkan pembikin filem muda di mana karya-karya mereka menembusi platform antarabangsa seperti Shamaine Othman (Cuak, KL24:Zombies), We Jun (Salvaj, Coaster & Breaking Point) dan Bradley Lew (Singing in Graveyards, Xing). Perkongsian mengenai halatuju, potensi, pembikinan dan pengantararabangsaan kandungan telah diperbincangkan bersama khalayak yang hadir.
‘Forum 3: Blockbusting – Analysing the Malaysian Box Office’ bersama barisan panelis Syafiq Yusof, Dain Said & Najwa Abu Bakar pula memberi ruang kepada pembikin filem yang hadir meneroka spektrum komersial dan seni melalui kacamata pembikin dan penerbit filem.