Hulu Kelang, 14 September- Perjuangan dan ketokohan Seniman Negara, Allahyarham Tan Sri Datuk Dr. Jins Shamsudin, telah diabadikan di dalam program istimewa ‘Imbas Kembali dan Layar Bintang’ sekaligus membuka penganjuran Festival Filem Malaysia ke 29 hari ini.
Menurut YB Dato’ Mohd Khusairi Abdul Talib, Pengerusi FINAS, program ini adalah platform pengiktirafan kepada jasa Allahyarham mengangkat pembangunan industri seni kreatif negara sehingga ke tahap yang membanggakan. Justeru, plak layar bintang yang dipahatkan di ‘Hall of Fame’ bersama tokoh-tokoh lagenda seperti Tan Sri P. Ramlee, Dato’ S. Romai Noor, Nordin Ahmad ini adalah simbolik kepada sumbangan dan perjuangan lagenda tanahair di dalam pembangunan sinema Malaysia.
“Perjuangan Allahyarham bukan sahaja sebagai aktor berjaya namun terus menimba ilmu menjadi pembikin filem ‘new wave’ yang melawan arus konvensional melalui filem pertama arwah Bukan Salah Ibu Mengandong (1969) sehinggalah ke agenda ‘nation building’ untuk Bukit Kepong selain pemerkasaan dasar dan polisi industri” ujar beliau.
Dihadiri balu Allahyarham, Puan Sri Halijah dan anak-anak, Dato’ Fauzi Ayob, Ketua Pengarah FINAS, bintang lagenda tanahair, karyawan industri dan pencinta filem, Program Imbas Kembali yang dipengerusikan Hj Chuari Selamat ini telah meneroka ideologi, pemikiran dan ketokohan Allahyarham Tan Sri bersama panelis Datuk Yusof Haslam, Prof Asiah Sarji dan Adam Salleh. Turut hadir ialah bintang filem Ali Setan, Hj Azmil Mustapha dan persembahan deklamasi puisi oleh Fauziah Dato’ Ahmad Daud, yang memenangi anugerah Pelakon Wanita Terbaik FFM6 menerusi filem arahan Allahyarham tersebut.