Kuala Lumpur, 24 Oktober – Majlis Malam Amal Seribu Bintang 2017 anjuran Yayasan Artis Veteran Malaysia dengan kerjasama FINAS serta disokong oleh Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) telah diadakan di Hotel Concorde, KL. Mewakili YB Datuk Seri Dr. Salleh Said Keruak, Menteri Komunikasi dan Multimedia, perasmian program ini telah disempurnakan YBrs. Encik Shakib bin Ahmad Shakir, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) KKMM diiringi bersama Datuk Yusof Haslam serta Presiden Yayasan Artis Veteran Malaysia, Puan Kismah Johar.
Objektif Malam Amal Seribu Bintang ini diadakan adalah sebagai platform pembangunan dana dan sinergi industri yang mampu menjana kepada kebajikan dan kesejahteraan para ahli persatuan serta bersempena dengan Majlis Pelancaran Kempen RM1 1Malaysia #BANTUARTISVETERAN. Majlis telah diserikan dengan pelbagai pengisian antaranya persembahan nyanyian dari Dato M. Daud Kilau, Azharina Azhar, Hail Amir, Raftah Bachik, Ibnor Riza dan Seri Kilauan Emas. Selain itu, majlis turut digamatkan dengan sesi cabutan bertuah dan juga acara pertunjukan fesyen daripada artis veteran.