Hulu Kelang, 26 Mac – Program Masterclass: Animation Trend & Post anjuran Post Production Animation & Creative Content Association Malaysia (POSTAM) dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) melalui Unit Latihan Industri telah diadakan di Pawagam Mini P. Ramlee, FINAS Hulu Kelang petang tadi.
Menurut YBhg. Dato’ Fauzi Ayob, Ketua Pengarah FINAS, FINAS sentiasa bekerjasama dengan persatuan-persatuan perfileman bagi menganjurkan bengkel latihan dan program masterclass di bawah Projek Rancangan Malaysia Ke-11 melalui komponen Memperkasa Modal Insan Industri Kreatif dengan memberi pendedahan kepada penggiat-penggiat industri dan juga golongan-golongan belia. Program Masterclass ‘Animation & Post Production’ seumpama ini adalah merupakan salah satu program yang membentuk ekosistem industri kreatif yang difokuskan untuk pembangunan industri.
Program pengisian masterclass yang berlangsung selama satu hari ini padat dengan forum dan perkongsian ilmu yang bertajuk ‘The Yin & Yang of The Human Brain and Machine: Balancing Technology & Creativity’ dari Encik Gerard Peter, Pengarah Operasi Pixelpost Sdn. Bhd., ‘The Making of A Good Animator: Opening Up Pathways to A Brighter Future’ dari Encik Jani Kuronan, Pengerusi dan Pengasas bersama Anima Vitae Point dan ‘The Magic of Moving Pictures: The Importance of Visual Effects and Post Production’ dari Encik Naeim Ghalili, Pengarah Pengurusan KL Post.
Turut hadir memeriahkan program adalah YBhg. Dato’ Fauzi Ayob, Ketua Pengarah FINAS, YBrs. Tuan Haji Abd. Khalid Maulod, Pengarah Bahagian Pembangunan Industri FINAS, Encik Chin Yoke Kee, Presiden Post Production Animation & Creative Content Association Malaysia (POSTAM), Cik Habibah Zainal Abidin, Ketua Penolong Pengarah Unit Latihan Industri FINAS, para pensyarah dan pelajar dari Point College dan AIFA Skills Academy dan jemputan yang lain.