Kuala Lumpur, 29 September – Pusat Kajian dan Apresiasi Filem dengan kerjasama Kelab Seni Filem Malaysia (KSFM) melalui platform jaringan ilmu dan pembangunan apresiasi sinema bersama komuniti filem, wayang@budiman terus aktif dengan penganjuran tayangan dan eksplorasi sinema dunia di HELP College of Arts and Technology Theatrette 2, Kuala Lumpur menerusi filem “Thy Womb” (2012). Filem arahan Brillante Mendoza ini memaparkan kehidupan seorang bidan di dalam masyarakat Muslim Bajau Laut di selatan Filipina yang diuji cabaran diri, emosi dan konflik keluarga yang menemukannya dengan titik di antara kepercayaan, keimanan dan pengorbanan demi insan tercinta.
Diterajui Dr. Norman Yusoff, Ketua Program Pasca Siswazah, Fakulti Filem, Teater dan Animasi (FITA) UiTM, khalayak yang hadir seperti pensyarah dan pelajar perfileman serta komuniti filem telah meneroka aspirasi, nilai, falsafah, pemikiran dan impak pembikinan serta penontonan melalui perspektif mereka dengan filem ini. Memenangi anugerah menerusi lakonan hebat Nora Aunor yang membawakan watak Shaleha (Bidan) di Asian Film Award, Gawad Urian Award dan Asia Pacific Screen Award pada tahun 2013. Filem ini turut dibintangi oleh Bembol Roco, Lovi Poe, Mercedes Cabral, Nurjay Sahali, Glenda Kennedy, Ruby Ruiz, Rolando Inocencio dan ramai lagi.