1

HULU KLANG: Sebagai usaha menyalurkan sumbangan amal kepada penggiat industri kreatif dengan lebih sistematik, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS) mengambil inisiatif menubuhkan Jawatankuasa Hal Ehwal Warga Industri, Kebajikan dan Data Industri.

FINAS bersama agensi dan persatuan lain dalam industri kreatif tempatan termasuk badan korporat akan berkongsi rezeki dengan memberi bantuan atau sumbangan meringankan beban penggiat industri kreatif terpilih.

Pengerusi FINAS, Datuk Kamil Othman berkata, jawatankuasa dipimpin Presiden Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN), Zed Zaidi itu turut menerima sumbangan badan korporat untuk disalurkan kepada penerima.

“FINAS sejak dari dahulu sedar ada penggiat seni memerlukan bantuan sama ada secara langsung atau tidak. Kami sudah mengambil kira sama ada bantuan itu perlu diberikan secara ‘adhoc’ atau tidak.

“Dengan wujudnya AJK ini, bantuan itu tidak lagi diberikan secara ‘adhoc’, sebaliknya, secara sistematik. Kita boleh lihat agihan dan keperluan dengan mengikut bentuk bantuan.

“Jawatankuasa dipimpin Zed sudah membina sistem di mana korporat atau individu boleh menyumbang kepada inventori bantuan, tidak kira sama ada dalam bentuk wang, barangan atau pakaian.

“Ini adalah satu sistem di mana kami bekerjasama dengan Gabungan Persatuan Perfileman Malaysia (GAFEMA) yang sudah ada 11 persatuan di bawahnya,” katanya ditemui pada program sumbangan bantuan industri kreatif kepada Jawatankuasa Hal Ehwal Warga Industri, Kebajikan dan Data Industri di di Pawagam Mini P Ramlee, FINAS, Hulu Klang, baru-baru ini.

Pada majlis itu, penyumbang bantuan turut diumumkan iaitu Koperasi Al-Najah yang menghulur wang tunai RM10,000 dan bekalan makanan; Eco Marine Group Berhad (wang tunai RM10,000); AHB Holdings Berhad (wang tunai RM10,000) serta NAA Gemilang

Legacy (kotak minuman).

Kamil mengingatkan setiap ahli dalam Jawatankuasa Hal Ehwal Warga Industri, Kebajikan dan Data Industri agar menggalas tugas dengan baik dan menyampaikan amanah kepada golongan memerlukan.

“Jawatankuasa haruslah menyelaras agihan bantuan dan sumbangan yang diterima melalui kerjasama daripada agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), persatuan, syarikat swasta dan individu.

“Ini termasuk mengendalikan program komuniti filem, ziarah anak seni dan kempen kesedaran, kesejahteraan industri perfileman Malaysia.

“Selain itu, persatuan boleh bekerjasama dengan GAFEMA bagi berkongsi maklumat membabitkan kebajikan individu, persatuan dan badan berkaitan industri kreatif negara sebagai suatu sinergi,” katanya.

Zed percaya setiap ahli Jawatankuasa Hal Ehwal Warga Industri, Kebajikan dan Data Industri mampu memberi yang terbaik melalui kepakaran masing-masing.

Tambahnya, antara langkah awal diambil adalah menjalin kerjasama dengan Angkatan Pertahanan Awam (APM) sebagai persediaan menyalurkan sumbangan kepada warga industri kreatif pada musim banjir.

“Ahli dalam jawatankuasa ini ada kepakaran tersendiri dalam memfokuskan kepada kebajikan. Saya sudah dilantik sebagai pengerusi dan skop jawatankuasa ini memang besar.

“Jadi, kami sudah memperkenalkan jawatankuasa ini. Kami akan bergerak untuk membantu penggiat seni memerlukan terutama ketika musim banjir.

“Kami akan buat persediaan dengan APM di mana dalam tempoh ini, kemungkinan berlaku banjir,” katanya.

Zed berkata, sumbangan di bawah jawatankuasa terbabit akan diteruskan untuk tahun berikutnya dengan mengambil kira setiap penggiat industri kreatif yang terkesan secara menyeluruh. Ini termasuk merekodkan data untuk memudahkan proses agihan pada masa akan datang.

“Sumbangan akan diteruskan pada 2024. Kami sudah ada perancangan daripada sudut agihannya. Apabila berada di FINAS ini, kami tidak fokus kepada artis sahaja.

“Sebaliknya, merangkumi pengarah, penerbit, kru dan kategori lain yang bernaung di bawah FINAS.

“Ini adalah tugas lebih spesifik untuk menjaga kebajikan dan kesejahteraan mereka dalam industri. kami akan membantu penggiat seni yang terkesan,” katanya.

Selain Zed, antara ahli jawatankuasa itu adalah Prof Datuk Seri Ahmad Musa So, Datuk Seri Dr Teh Chee Teong, Datuk Fyzal Fauzy, Datuk Mohd Banuri Aris, Datuk Shahrul Nizam Yunos, Esma Danial Md Isa, Khalil Saleh, Zahrin Ishak dan Kismah Johar.

– SUMBER BERITA HARIAN ONLINE