Kota Kinabalu, 3 Mei -Di dalam inisiatif pembangunan modal insan dan sinergi ilmu karyawan industri khususnya generasi muda, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) dengan kerjasama Kelab Belia Transformasi Pintasan telah menganjurkan Bengkel Penerbitan Filem Pendek (Smartphone) dengan majlis penutupnya telah diadakan di Arena Belia Kota Kinabalu, Sabah.
Seramai 25 peserta terdiri daripada belia Sabah telah menghadiri bengkel tersebut yang dikendalikan selama 5 hari oleh tenaga pengajar profesional iaitu pengarah filem ‘Redha’, YM Tunku Mona Riza dan penyunting Encik Isazaly Bin Mohamad Isa. Melalui bengkel interaktif tersebut, para peserta telah diberi pendedahan secara teori dan praktikal tentang pembikinan filem pendek dengan menggunakan telefon pintar selain komponen asas penulisan, penceritaan, penyuntingan dan pengarahan.
Majlis penutup turut dihadiri oleh YBhg. Dato’ Deddy M Borhan, Penasihat Industri Kreatif Sabah & Sarawak FINAS, Encik Anuar Zainon, Ketua FINAS cawangan Sabah, tenaga pengajar, YM Tunku Mona Riza, Encik Isazaly Bin Mohamad Isa dan para peserta bengkel.