Ampang, 6 Jun – Membawakan tema “Imagineering The Inspiration Of TN50” Fakulti Multimedia Kreatif, Universiti Multimedia (MMU) dengan kerjasama Gabungan Industri Kandungan Kreatif Malaysia (CCIG) hari ini melancarkan Pertandingan Rekacipta Kandungan Kreatif Digital (DC3) 2017 sebagai platform melahirkan pasukan tenaga kreatif industri (creative force) yang akan menggerakkan lanskap pembangunan industri kreatif melalui spektrum imaginasi, teknologi, inovasi dan kreativiti yang mampu menjadi realiti. Berinsiprasikan Transformasi Nasional 2050 yang menjadi penanda aras pembangunan negara, program ini turut menyahut seruan kerajaan untuk membina sinergi dua hala bersama generasi muda melalui platform perkongsian bakat.
Pertandingan seumpama ini dilihat mampu menjadi platform terbaik kepada generasi muda meneroka kreativiti dan potensi sejajar dengan aspirasi dan pelan Transformasi Negara 2050 (TN50). Antara kategori pertandingan meliputi fotografi, manupulasi imej digital, video digital dan multimedia kreatif yang boleh disertai seluruh rakyat Malaysia yang berbakat.
Majlis pelancaran yang telah disempurnakan oleh Ketua Pengarah FINAS, Dato’ Fauzi Ayob ini berlangsung di Hotel De Palma turut sama dihadiri Pengerusi CCGI, Dato’ Jurey Latiff Rosli, Presiden MMU, Prof. Datuk Dr Ahmad Rafi Mohamed Eshaq, dan Timbalan Ketua Pengarah Pengurusan FINAS, Dato’ Azmir Saifuddin Mutalib.