Filem Terbaik Anugerah Skrin 2018, ‘Dukun’ arahan Dain Said yang telah mencipta fenomena tersendiri dengan kutipan pecah panggung melebihi RM10juta tahun ini meneruskan kembaranya di festival filem antarabangsa apabila terpilih sebagai ‘Official Selection’ mewakili Malaysia di 13th Jogja-Netpac Asian Film Festival yang berlangsung dari 27 November-4 Disember 2018 di Yogyakarta, Indonesia. Beraksi di bawah kategori ‘Asian Perspective’ bersama 13 karya antarabangsa yang lain dengan impak pembikinan berkualiti dan sinematik, ‘Dukun’ terbitan Astro Shaw yang dibintangi Datin Seri Umie Aida, Faizal Hussein, Nam Ron, Adlin Aman Ramli, Bront Palarae, Nadiya Nisaa, Mislina Mustafa, Soffi Jikan, Hasnul Rahmat, Elyana dan ramai lagi ini terdahulunya telah menembusi 17th New York Asian Film Festival (NYAFF), Five Flavours Asian Film Festival, Warsaw dan 51st Sitges International Fantastic Film Festival di Sepanyol.
Selain itu, filem pendek ‘Kampung Tapir’ mengenai permainan konflik dan emosi pasangan mengenai pilihan dan halatuju masa depan mereka karya pembikin filem muda, Aw See Wee yang telah mencipta kejayaan meraih NETPAC Award (Network for the Promotion of Asian Cinema) di 35th Busan International Short Film Festival, Korea tahun ini selain Best Next New Wave di 2nd Southeast Asia( SeaShorts) Film Festival akan bersaing merebut ‘Blencong Awards’ di bawah kategori ‘Light of Asia’ bersama 11 karya pembikin muda dari seluruh dunia.
Bertemakan ‘Disruption’ yang meneroka perspektif baharu budaya, pemikiran, aspirasi dan warna kontemporari sinema Asia, Jogja NETPAC Asian Film Festival menjadi platform signifikan kepada jaringan pembangunan kandungan, intelektualisme, apresiasi, pasaran dan sinergi pembikin khususnya di rantau Asia ini terdahulunya telah mengiktiraf karya-karya Malaysia yang berkualiti seperti filem cereka ‘Bunohan’/Dain Said/2012 (Golden Hanoman Award), filem pendek ‘The Incredibly Strange Tale of the Man Who Lost His Love but Bought it Back with a Packet of Duck Rice’/Gavin Yap/2015 (Blencong Award) dan filem cereka ‘Aqerat’/Edmund Yeo/2017(Geber Award).