Shah Alam, 7 September – Pusat Kajian dan Apresiasi Filem menerusi Program Tayangan dan Bual Santai Wayang@Budiman di Shah Alam telah meneroka perspektif ilmu dan pembangunan apresiasi sinema dengan penganjuran ‘Kembara Seashorts’ bagi mempromosikan Southeast Asia International Short Film Festival (Seashorts) 2019 yang akan berlangsung pada 25-29 September ini di Melaka.
Program yang diterajui Dr. Norman Yusoff, Ketua Program Pasca Siswazah, Fakulti Filem, Teater dan Animasi (FITA) UiTM ini telah dihadiri oleh pensyarah dan pelajar perfileman serta komuniti filem yang turut berkongsi pandangan dan perspektif mereka terhadap empat buah filem pendek dari beberapa buah negara ASEAN seperti ‘Death Of The Man’ (Thailand), ‘Adult Don’t Say Sorry’ (Vietnam), ‘Five Trees’ (Singapura) dan ‘High Way’ (Malaysia).