Kuala Lumpur, 1 Ogos – Tayangan Perdana Filem Animasi aksi komedi ‘Wheely’ hasil produksi Kartun Studios, anak syarikat KRU International telah diadakan di GSC Pavilion malam ini. Menggunakan pendekatan ‘anthropomorphic’ iaitu berciri kemanusiaan, ‘Wheely’ yang menggunakan kepakaran anak tempatan selain pelajar KRU Academy ini berkisarkan tentang Wheely sebagai teksi yang dipandang rendah oleh komunitinya dan terpaksa berdepan dengan sindiket jenayah yang menculik kenderaan-kenderaan mewah import milik golongan-golongan elit di bandaraya tersebut.
Filem kedua terbitan Kartun Studios arahan Carl Mendez yang terdiri daripada Norman KRU, Yusri KRU, Archie Nasution dan Razif Kasmar ini mensasarkan kepada audiens umum dan bukan hanya tertumpu pada golongan muda sahaja selain menengahkan lokasi-lokasi pelancongan tempatan seperti Kuala Lumpur dan Putrajaya ke layar perak selain bertemakan penceritaan universal untuk pasaran global.
‘Wheely’ versi Bahasa Malaysia yang menampilkan suara Zizan Razak, Lisah Surihani dan Johan Raja Lawak ini akan mula ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia bermula 16 Ogos 2018 selain juga telah berjaya menembusi 100 buah negara untuk pengedaran, pemameran dan pelesenan termasuklah di Brazil, Brunei, Bulgaria, Slovakia, Poland, Rome dan Czech Republic.
Hadir memeriahkan tayangan perdana ini ialah YB. Dato’ Ir. Amiruddin Hamzah, Timbalan Menteri Kewangan Malaysia, YBhg. Dato’ Fauzi Ayob, Ketua Pengarah FINAS, YBhg. Dato’ Husni Salleh, Ketua Pegawai Eksekutif Teraju, YBhg. Dato’ Ahmad Izham Omar, Ketua Pegawai Eksekutif Primeworks Studio, YBhg. Dato’ Norman Abdul Halim, Ketua Pegawai Eksekutif KRU Studios, Edry Abdul Halim, Pengarah Kreatif KRU Studios, Encik Archie Nasution, Ketua Pegawai Eksekutif Kartun Studios, para penggiat industri, rakan-rakan media dan para tetamu jemputan.