Filem pendek, Linguistik Kedai Makan (The Linguistics of Restaurant) arahan Bebbra Mailin, pensyarah Program Skrin di Fakulti Filem, Teater dan Animasi, UiTM telah terpilih sebagai ‘official selection’ bersama-sama 32 buah karya filem lain di Festival Filem FLY di Busan, Korea anjuran Bandaraya Metropolitan Busan, Suruhanjaya Perfileman Busan (BFC) dan Busan Asian Film School yang bermula dari 13 Oktober yang lalu sehingga hari ini, 15 Oktober 2017.
Ditulis dan diterbitkan karyawan muda Ahmad Muzzammil Abdul Rahman ataupun Muzzammer Rahman yang juga merupakan ‘alumnus’ program sulung ASEAN-ROK Film Leaders Incubator: FLY pada tahun 2012 di Davao, Filipina, filem pendek karya beliau ini berjaya mewakili Malaysia bersama 22 buah karya yang dihasilkan ‘alumni’ program FLY dari sepuluh negara ASEAN dan Korea Selatan yang lain. ‘Linguistik Kedai Makan’ yang sebelum ini juga pernah menyertai festival filem antarabangsa Sylhet di Bangladesh ini turut ditayangkan di bawah segmen ‘Now & Here’ di Festival Filem FLY yang dianjurkan bersempena ulangtahun ke-5 FLY. Selain diiktiraf melalui anugerah Pengarah Terbaik Festival Filem Video Pelajar Malaysia ke 8 dan Anugerah Karyawan Muda ‘Young Filmmakers Forum’, Muzzammer pernah menimba pengalaman apabila terpilih menyertai Asian Film Academy (2013) melalui penglibatan di program FLY yang bertaraf antarabangsa.
Diiktiraf sebagai program strategik pembangunan ilmu dan kemahiran karyawan muda ASEAN dan Korea Selatan dari tahun 2012, FINAS dengan kerjasama Next New Wave telah menganjurkan ‘Young Filmmakers Workshop’ semenjak tahun 2015 sebagai mekanisme pemilihan karyawan muda untuk mewakili Malaysia ke program ASEAN-ROK Film Leaders Incubator: FLY ini dengan penyertaan Sharifah Aleysha & Koo Xun Zheng (Johor Bahru/2015), Putri Purnama Sugua & Kathy Tan (Phnom Penh/2016) dan Ariff Syafzan & Benedict Jeremy Lazaroo yang bakal mewakili negara di Jogjakarta, Indonesia untuk tahun ini.