Hulu Kelang, 16 Mei – Rahim Jailani dipilih sekali lagi sebagai Presiden Persatuan Kebajikan Artis Veteran Malaysia (PKAVM) bagi sesi 2017/2020. Rahim telah mendapat mandat majoriti ahli sebagai Presiden bagi menerajui kepimpinan Persatuan Kebajikan Artis Veteran Malaysia (PKAVM) sesi 2017/2020 ketika pemilihan di Mesyuarat Agung Tahunan PKAVM ke 6 di Dataran Karyawan, Kompleks Studio Merdeka FINAS hari ini.
Mesyuarat tersebut yang dirasmikan Pengerusi FINAS, YB Dato’ Mohd Khusairi Abdul Talib pada sebelah pagi telah dihadiri oleh ahli-ahli yang berdaftar dengan PKAVM merangkumi para pelakon atau penyanyi veteran. Persatuan ini amat signifikan dalam menjaga, memelihara dan membela kebajikan para ahli yang tidak berkemampuan dan kurang upaya.
“Kerajaan melalui FINAS sentiasa bekerjasama erat dan akan terus memberi sokongan kepada artis-artis veteran yang memerlukan,” ujar beliau lagi sambil mengucapkan syabas kepada barisan kepimpinan terdahulu dan yang bakal menaungi persatuan di atas sinergi dua hala bersama FINAS demi pembangunan industri. Mengakhiri majlis, pihak persatuan juga turut menyampaikan sumbangan kepada 20 ahli persatuan yang kurang bernasib baik.
Turut hadir sama dalam majlis tersebut ialah YBhg Dato’ Fauzi Ayob, Ketua Pengarah FINAS, YBrs En. Azmir Saifuddin Mutalib, Timbalan Ketua Pengarah FINAS, dan para media.