Hulu Kelang, 23 April – Forum Pemasaran Antarabangsa anjuran FINAS dan Creative Content Association Malaysia (CCAM) telah diadakan di Pawagam Mini P. Ramlee, FINAS Hulu Kelang pagi ini. Berobjektifkan menjana perkongsian strategik dua hala kepada penerbit kandungan kreatif tempatan bagi pemasaran di peringkat global, forum ini telah disertai panelis berpengalaman seperti Dato’ Norman Abd Halim, Pengerusi Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM), Puan Najwa Abu Bakar, Naib Presiden Kumpulan Pengurusan Kandungan dan Ketua Astro Shaw Sdn Bhd, Encik Hasnul Hadi Samsudin, Timbalan Presiden Bahagian Kandungan Kreatif Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC), Encik Farid K Ahmad, Ketua Pegawai Eksekutif Nafalia Corporations Sdn. Bhd., Puan Lina Teoh, Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Documentary Society (MyDOCS) dan Encik Muzzafar Shah Hanafi, Pengurus Bahagian Elektrik, Elektrikal, ICT, Mesin dan Barangan MATRADE.
YBhg. Dato’ Fauzi Ayob di dalam ucapannya menyatakan bahawa kerajaan melalui FINAS sentiasa mendukung para penerbit bagi memasarkan produk kandungan ke peringkat antarabangsa melalui platform eksport, pelaburan dan jaringan promosi di program pasaran antarabangsa. Selain itu, di dalam usaha pembangunan kandungan kreatif tempatan di dalam memacu ekonomi industri, FINAS juga sentiasa membantu syarikat-syarikat produksi tempatan dengan menyediakan Dana Pembangunan Penjenamaan sebagai galakan kepada pembangunan produk-produk yang berpotensi meneroka pasaran antarabangsa.
Turut hadir memeriahkan majlis adalah YBhg. Dato’ Azmir Saifuddin Mutalib, Timbalan Ketua Pengarah Pengurusan FINAS, Tuan Hj. Abd. Khalid Maulod, Pengarah Bahagian Pembangunan Industri FINAS, para penerbit, karyawan industri, rakan-rakan media dan tetamu jemputan.