Kuala Lumpur, 24 September- Kelab Seni Filem Malaysia (KSFM) melalui platform jaringan ilmu dan pembangunan apresiasi sinema bersama komuniti filem terus aktif dengan penganjuran tayangan dan eksplorasi sinema dunia di HELP College of Arts and Technology Theatrette 2, Kuala Lumpur menerusi filem era 1970-an garapan pengarah Filipina tersohor, Lino Brocka yang meneroka melodrama sosial yang provokatif tentang hipokrasi dan korupsi masyarakat disebuah desa dan bagaimana kehormatan, maruah dan kemanusiaan dibayangi sebuah kepalsuan.
Diterajui Dr. Norman Yusoff, Ketua Program Pasca Siswazah, Fakulti Filem, Teater dan Animasi (FITA) UiTM, khalayak yang hadir seperti pensyarah dan pelajar perfileman serta komuniti filem telah meneroka aspirasi, nilai, falsafah, pemikiran dan impak pembikinan serta penontonan melalui perspektif mereka dengan filem Weighed But Found Wanting (Tinimbang Ka Ngunit Kulang) 1974. Memenangi 6 buah anugerah di peringkat antarabangsa termasuklah penerima FAMAS Award (The Filipino Academy of Movie Arts and Sciences Awards) termasuk untuk kategori Filem Terbaik, Pengarah Terbaik, Pelakon Lelaki & Wanita Terbaik, filem ini dibintangi Lolita Rodriguez, Christopher De Leon, Mario O’Hara, Eddie Garcia, Lilia Dizon dan Hilda Koronel.