Oleh : Amy Ikram & Aidi Emizul
Gambar : Zara
KUALA KANGSAR, 4 Jan – Memorandum Persefahaman Penerbitan Dokumentari Sejarah Perkembangan Islam di Dunia telah dimeterai di antara Universiti Sultan Azlan Shah (USAS), Global Station Sdn Bhd dan Measat Broadcast Network System Sdn Bhd (ASTRO) telah diadakan di Universiti Sultan Azlan Shah (USAS), Kuala Kangsar pada hari ini.
Dokumentari yang mengisahkan tentang zaman kegemilangan penakhlukan islamiah pada abad ke-19 dengan merujuk kepada aspek perundangan dan cara hidup ini juga memberi penekanan kepada unsur fikah, sirah, dan senibina islam sebagai inspirasi dalam konteks peradaban dunia islam. Kejayaan meneroka dunia tanpa sempadan dalam menterjemahkan pemikiran sejagat ini dihuraikan dalam sebuah penerbitan eksklusif yang bakal memulakan penggambaran tidak lama lagi. Usahasama penghasilan dokumentari ini merupakan produksi di bawah naungan Uthmaniyah dan Dokumentari Nur Hikmah.
Ketika ditemui media, Dato’ Mohd Khusairi Abdul Talib, Pengerusi FINAS menyifatkan penerbitan dokumentari antara Global Station Sdn Bhd, Astro dan USAS ini merupakan usahasama yang julung kali dilakukan. Ia bertujuan untuk mendedahkan kepada khalayak penonton tentang kefahaman dunia islam secara terperinci melalui beberapa fakta dan visual yang disajikan. Keistimewaan dalam aspek cara hidup tanpa melupai asal usul menjadi aspek terpenting dalam pembikinan sebuah naskhah. Tambahnya lagi, pihak FINAS amat menyokong penuh dengan usahasama dalam menghasilkan sebuah cerita yang menarik dan unik serta mempunyai daya pemikiran dan sahsiah yang tinggi dalam garapan penceritaannya, seterusnya dapat menerokai pasaran antarabangsa di seluruh dunia melalui penyertaan Astro sebagai rakan penyiar.
‘Dalam usaha memberikan kandungan rancangan yang berkualiti tinggi dan terbaik kepada pelanggan setia kami, penerbitan dokumentari ini merupakan projek unggul bagi tahun 2017 dan melaluinya juga, kita dapat mengetahui selok belok sejarah dan tamadun islam pada zaman dahulu. Ia idea yang sudah lama diperbincangkan bersama, dan apabila Global Station menyatakan hasrat untuk menghasilkannya, kami terbuka dan bersetuju untuk bekerjasama’, ujar Dato’ Khairul Anuar Salleh, Naib Presiden Melayu Astro dengan nada penuh keterujaan melalui jalinan kerjasama antara Universiti Sultan Azlan Shah, Global Station dan Astro sendiri.
Manakala Penerbit Global Station Sdn Bhd, Datin Zaiton Mohd Jiwa pula berpendapat, ‘sejarah zaman silam terutamanya dalam konteks peradaban islam merupakan aspek yang cukup menarik untuk dibincangkan. Ia menjadi tanda aras kepada penerbitan dokumentari ini yang mendapat kerjasama penuh dari Universiti Sultan Azlan Shah, Kuala Kangsar dari segi fakta dan kajian melalui penglibatan beberapa tenaga penyelidik yang professional dan bertauliah. Ini jalinan kerjasama yang cukup membanggakan kami sebagai pengkarya,’ ujar penerbit wanita yang cekal dan berdiri kukuh di sebalik jenama Global Station itu melalui ratusan beberapa buah drama terbitannya.
Dokumentari yang mendedahkan secara terperinci tentang tamadun islam dan Uthamaniyah ini memilih Turki sebagai salah sebuah lokasi penggambaran dan bakal menemui penonton tempatan dan antarabangsa hujung tahun 2017 dan awal tahun hadapan.
Majlis bersejarah ini juga dihadiri oleh YBhg. Tan Sri Prof Dr. Nordin Kardi, Naib Canselor Universiti Sultan Azlan Shah, YB Dato’ Mohd Khusairi Abdul Talib, Pengerusi FINAS, YB Dato’ Mohamad Kamil Shafie, Ahli Dewan Undangan Negeri Manong, Dato’ Khairul Anwar Salleh, Naib Presiden Perniagaan Melayu Astro dan Datin Zaiton Mohd Jiwa, Penerbit Global Station Sdn Bhd.
© 2017 Finas Media, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia.