#LensaFINAS
#LensaNegaraku
Sabah, 31 Ogos 2024- Lebih 50,000 pengunjung hadir memeriahkan upacara Perbarisan Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Sabah Tahun 2024 yang berlangsung di Dataran Bandaraya Jalan Tun Fuad Stephens, Kota Kinabalu. Bertemakan Malaysia Madani Jiwa Merdeka, sambutan tersebut menjadi platform menterjemah aspirasi Malaysia Madani dalam memperkukuh perpaduan rakyat.
Acara gilang-gemilang ini disertai 189 kontinjen mewakili pasukan keselamatan, jabatan kerajaan dan agensi, badan beruniform, persatuan dan sekolah mengambil bahagian dalam acara perbarisan dengan aksi memukau dan bertenaga.
Acara turut dihadiri Tuan Yang Terutama Tun Datuk Seri Panglima (Dr.) Haji Juhar bin Datuk Haji Mahiruddin, Yang di-Pertua Negeri Sabah dan Yang Amat Berbahagia Toh Puan Datuk Seri Panglima (Dr.) Hajah Norlidah binti Tan Sri Datuk R.M. Jasni , Yang Amat Berhormat Datuk Seri Panglima Haji Hajiji bin Haji Noor, Ketua Menteri Sabah dan Yang Amat Berbahagia Datin Seri Panglima Datuk Hajah Juliah Salag dan Yang Berhormat Datuk Seri Panglima Haji Masidi bin Manjun, Menteri Kewangan Negeri Sabah Selaku Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Sabah Tahun 2024.
Sambutan Hari Kebangsaan penuh warna-warni ini juga turut diserikan dengan persembahan khas Jiwa Merdeka oleh Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah serta persembahan koir sebelum memulakan acara perarakan. Antaranya adalah pembabitan kategori aset kenderaan yang didahului dengan perarakan kenderaan Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang 2024 (KMJG2024) yang turut memeriahkan suasana dengan kehadiran agensi kerajaan negeri dan persekutuan seperti Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Jabatan Penerangan Sabah (JAPEN), Jabatan Penyiaran Malaysia Sabah (RTM), Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA), Jabatan Komunikasi Komuniti (JKOM), Pos Malaysia, Telekom Malaysia (TM), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia serta Polis Diraja Malaysia (PDRM).
#FINASMalaysia
#FilemKitaCitraKita
#MalaysiaMadani
#HKHM2024
#JiwaMerdeka

sabah