Hulu Kelang, 3 Ogos – Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia (PROFIMA) telah mengadakan satu sesi sidang media sempena penganjuran PROFIMA International Film Festival & Awards 2017 (PIFFA 2017) dengan sokongan Kementerian Komunikasi Multimedia Malaysia (KKMM) melalui Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) dan juga Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia. PIFFA 2017 yang akan berlangsung selama tiga (3) hari berturut-turut bermula pada 4-6 November 2017 akan dimulakan dengan Malam Anugerah PROFIMA (MAP2017) pada 4 November 2017, manakala acara kemuncak PIFFA 2017 iaitu Asia Pacific Supreme Awards akan diadakan pada 5 November 2017 bertempat di Matrade Exhibition & Convention Centre, Kuala Lumpur.
Majlis dirasmikan oleh Pengerusi FINAS, YB Dato’ Mohd Khusairi Hj. Abdul Talib selaku Penaung PIFFA 2017. Di dalam ucapannya, beliau sangat teruja dengan penganjuran festival yang berprestij seumpama itu sambil mengharapkan kerjasama yang utuh dan berterusan di antara pihak krew dengan produksi. Ianya juga akan menjadi pemangkin kepada pihak penganjur untuk meneruskan penganjuran program ini di tahun-tahun akan datang sekaligus berpotensi dinobatkan sebagai acara tahunan di dalam kalendar pelancongan Malaysia.
Objektif penganjuran PIFFA2017 adalah bagi memberi pengiktirafan dan menghargai jasa dan sumbangan tenaga kerja belakang tabir yang telah bertungkus lumus dalam menjayakan sesebuah penerbitan filem, drama, dokumentari, iklan dan sebagainya. Antara 71 anugerah yang akan diberikan adalah seperti Produser Terbaik, Pengarah Terbaik, Solekan Terbaik, Aksi Lagak Ngeri Terbaik, Pengarah Seni Terbaik, Jurukamera Terbaik dan banyak lagi. 63 kategori dipertandingkan dan 8 kategori yang tidak dipertandingkan iaitu 5 Anugerah Khas Juri dan 3 Anugerah Tokoh PROFIMA. Tarikh penghantaran pencalonan telah bermula dari bulan April 2017 sehingga September 2017. PIFFA 2017 terbuka kepada orang ramai terutamanya mereka yang mengikuti pelajaran dalam jurusan perfileman atau pengiklanan yang berkaitan dengan multimedia dan telekomunikasi. Selain MAP 2017, PIFFA 2017 juga akan menganjurkan pelbagai aktiviti warga krew seperti bengkel/seminar, pameran peralatan penggambaran/servis, tayangan filem dalam dan luar negara serta pertunjukan aksi lagak ngeri.
Turut hadir bersama ialah, YBhg. Dato’ Fauzi Ayob, Ketua Pengarah FINAS, YBhg. Datuk Yusof Haslam yang juga dilantik sebagai Duta PIFFA 2017, Kapten Khir Mohd Noor, Presiden PROFIMA, para tetamu dan rakan-rakan media.