Kuala Lumpur, 27 Januari – Bagi menghargai barisan pelakon dan penyanyi veteran yang telah lama mewarna industri seni tanah air suatu ketika dahulu, Persatuan Karyawan Malaysia (KARYAWAN) dan RR Charity Lane dengan sokongan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) telah mengadakan Malam Nostalgia Lagenda siri kedua di WOWKL! malam tadi.
Melalui inisiatif ini, nama-nama besar yang telah banyak menghiburkan industri seni sebelum ini secara tidak langsung dapat meneruskan perjalanan kerjaya seni mereka sambil mengutip dana bagi tabung kebajikan persatuan. Antara artis yang tampil membuat persembahan adalah Rahimah Rahim, Mimi Loma, Norlia Ghani, A.Rozaini, S Rohani dan S. Sarangabani.
Turut hadir memberi sokongan dalam majlis tersebut ialah YM Datuk Raja Ropiaah Abdullah, Datuk Freddie Fernandez, Presiden Karyawan, penyanyi veteran Datuk Yusni Hamid, Imuda, rakan-rakan artis, para jemputan dan media.
Sebelum ini, siri pertama pernah diadakan di lokasi yang sama menampilkan artis lagenda seperti Datin Paduka Julie Sudiro, Datuk Yusni Hamid, Zaiton Sameon dan Herman Tino.