Kuala Lumpur, 24 November – Kuala Lumpur Film School (KLFS) dengan kerjasama Persatuan Sutradara Malaysia (FDAM) dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) berkerjasama dalam menganjurkan program perkongsian ilmu dan pembangunan apresiasi sinema melalui program Bicara Filem KLSF: Perspektif Pembikin Filem (Siri Pengarahan Filem) yang diterajui oleh pengarah dan karyawan filem, U-Wei Hj Saari di KLFS, Wangsa Melawati.
Menampilkan filem ikonik ‘Budak Kelantan’ arahan Wan Azli Wan Jusoh yang turut hadir bagi sesi perkongsian ilmu dan apresiasi sejurus tayangan, filem ini telah dikupas secara ilmiah daripada perspektif pembikinan dan pengarahan, falsafah, cabaran, aspirasi dan impak kepada penonton.
Filem ‘Budak Kelantan’ yang meneroka realisme sosial anak-anak muda luar bandar yang bermigrasi dan berjuang di bawah arus dan cabaran urbanisasi di kotaraya yang mewujudkan pertembungan dan persilangan nilai, budaya, ideologi dan halatuju ini dibintangi oleh Danny Anwa, Bienda, Mohd Asrulfaizal, Md Eyzendy, Hushairi Husain dan ramai lagi.
Turut hadir pada program Bicara Filem ini adalah para karyawan filem dan penggiat industri, pensyarah dan pelajar perfileman serta khalayak filem.