Cyberjaya, 11 Ogos – Di dalam menjana pembangunan komuniti filem melalui jaringan sinergi industri, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) hari ini menyertai program Cyberjaya Multimedia Festival (CMF 2018) sempena kemuncak Kre8tif! Cyberjaya 2018, yang diadakan di Centrus Mall, Cyberjaya.
Melalui platform pameran kreatif oleh agensi-agensi dan rakan strategik, FINAS telah menyediakan program-program menarik seperti ‘Intra-Sinema’ iaitu tayangan filem cereka dan dokumentari hasil sentuhan karyawan muda industri, ‘FilmNovaTech’ iaitu pameran audiovisual kandungan dengan teknologi restorasi dan pendigitalan, ‘EkplorasiSINEMA’ yang memberi ruang pengunjung meneroka sejarah industri filem negara dengan kuiz dan permainan interaktif, ‘PromoSinema’ yang mempromosikan filem-filem tempatan terbaharu serta ‘LepakSkrin’ sebagai platform mencungkil potensi kreativiti pengunjung secara spontan melalui elemen ‘penulisan’, ‘pengarahan’ dan ‘lakonan’ di dalam sketsa pendek bersama karyawan jemputan iaitu Anas Ridzuan dan Lia Natalia.
Bertemakan ‘Kre8 Innov8’, pelbagai acara menarik seperti persembahan muzik kreatif daripada kumpulan band tempatan, Bittersweet dan Iqbal M, persembahan teknologi kreatif digital, animasi dan seni, persidangan teknikal serta tayangan filem bergenre aksi dan animasi seperti Busker The Movie, KL Special Force, KL Wangan, Boboiboy, Ejen Ali Season 2 dan banyak lagi yang diadakan bagi memeriahkan lagi CMF 2018 ini.