Petaling Jaya, 16 Ogos – Seramai 70 orang pelajar Jabatan Kejuruteraan Elektrik, Diploma Kejuruteraan Elektronik (Komunikasi) dan Diploma Kejuruteraan Elektrik Elektronik diiringi dua pensyarah, En. Hadi dan En. Saiful dari Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin telah berpeluang menyertai Program Integrasi Ilmu dan Sinergi Industri di Kompleks FINAS Petaling Jaya sebentar tadi. Melalui platform pembangunan komuniti industri filem, program seumpama ini memberi peluang kepada generasi muda membina jaringan dua hala bersama FINAS sebagai badan peneraju kemajuan industri filem Malaysia.
Selain lawatan berpandu ke pameran khazanah, teknologi dan inovasi perfileman termasuk pendigitalan dan restorasi kandungan, delegasi juga telah menjana pengetahuan melalui program Eksplorasi Sinema mengenai perspektif sejarah pembangunan industri filem selain Lensa FINAS yang merupakan program perkongsian ilmu mengenai aspirasi, fungsi dan strategi FINAS di dalam pemerkasaan industri.
Selain itu, melalui platform Sembang Skrin yang diselia Cik Atiqah Amira Mohd Noor, Penolong Pengarah Komunikasi Korporat dan Encik Zakri Zakaria, Penolong Pengarah Mediatheque, para peserta telah diberi ruang untuk sesi soal jawab dan perkongsian interaktif mengenai sinema Malaysia.