Petaling Jaya, 22 Mac – Seramai 40 orang pelajar Universiti Utara Malaysia diiringi pegawai pengiring Puan Zunaida Baharun dan Puan Widya Adeha berpeluang menyertai Program Integrasi Ilmu dan Sinergi Industri di Kompleks FINAS Petaling Jaya petang tadi. Melalui platform pembangunan komuniti industri, program seumpama ini memberi peluang kepada generasi muda membina jaringan dua hala bersama FINAS sebagai badan peneraju kemajuan industri filem Malaysia.
Selain lawatan berpandu ke Museum of Moving Image (MOMI) yang memaparkan khazanah perfileman, para pelawat juga turut berpeluang melihat dengan lebih dekat pameran peralatan perfileman.
Melalui sesi pembentangan korporat mengenai FINAS oleh Cik Atiqah Amira Mohd Noor, Penolong Pengarah Komunikasi Korporat dan taklimat berkaitan MOMI yang disampaikan oleh En. Zakri Zakaria, Penolong Pengarah Mediatheque, para peserta telah diberi ruang untuk sesi soal jawab dan perkongsian interaktif.