KUALA LUMPUR, 27 Ogos – Bagi menyemarakkan lagi sambutan Hari Kebangsaan 2017, FINAS dan Persatuan Seniman Malaysia dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Rakan Kembara Putrajaya dan beberapa badan NGO telah menganjurkan Program Kemerdekaan Sayangi Negaraku Malaysia bertempat di Kaki Lima @ SOGO Kuala Lumpur hari ini.
Program yang berkonsepkan santai kemerdekaan ini membawa pengunjung di sekitar ibu kota untuk sama-sama menyemarakkan semangat patriotisme dalam diri dan masyarakat berbilang bangsa serta agama seiring dengan tema Hari Kebangsaan pada tahun ini iaitu ‘Sehati Sejiwa’. Para pengunjung juga berpeluang beramah mesra dengan artis-artis yang turut sama hadir memeriahkan suasana dalam program tersebut.
Selain daripada berhibur dengan pelbagai aktiviti yang disediakan seperti pertunjukan street theatre ‘Bangsawan Dewa Kencana’, persembahan buskers, kelas lakonan santai yang dikendalikan oleh pelakon Harun Hashim, khat kaligrafi, karikatur dan pelbagai lagi, para pengunjung yang hadir juga turut menerima jalur gemilang yang disampaikan sendiri oleh YB. Datuk Seri Dr. Salleh Said Keruak, Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia bersama YBhg Dato’ Fauzi Ayob, Ketua Pengarah FINAS, dan Rozaidi Jamil (Zed Zaidi), Presiden Seniman. Hadir bersama memberikan sokongan ialah para media dan rakan-rakan artis seperti Norish Karman dan Putera Amaris.