Kuala Lumpur, 25 Januari – Satu program ziarah kasih anjuran Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) dengan kerjasama Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN) telah diadakan sebagai tanda prihatin dan sokongan pihak kerajaan melalui Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) dan FINAS terhadap golongan seni yang tidak berkeupayaan dan kurang bernasib baik.
Muhammad Yunus Abd Rashid atau lebih dikenali Ebby Yus sebelum ini pernah dinobatkan sebagai Pelakon Lelaki Komedi TV Terbaik di Anugerah Sri Angkasa 2010 dan calon Top 5 kategori Artis Komedi Lelaki Popular di Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) 2014, telah terlantar sakit dan menerima rawatan di Hospital Selayang dan Institut Jantung Negara (IJN), akibat masalah jantung dan buah pinggang sekitar Mac dan Julai tahun lalu.
Dihadiri YBrs. En. Shakib Ahmad Shakir, Pemangku Ketua Pengarah FINAS, beliau turut melahirkan rasa simpati dan memberi sumbangan kebajikan bagi membantu meringankan beban Ebby Yus. Turut hadir bersama En. Rozaidi Jamil, Presiden Seniman Malaysia (SENIMAN), En. Mohamad Syimir Alfi Zahari, Ketua Penolong Pengarah Komunikasi Korporat, para pegawai FINAS, ahli-ahli Persatuan Seniman serta rakan-rakan media.