Kuala Lumpur, 30 Ogos – Persatuan Dokumentari Malaysia (MyDocs) hari ini menganjurkan tayangan dokumentari khas bertajuk ‘Road To Nationhood : The Undeclared War’ sempena Sambutan Hari Kebangsaan 2018.
Dokumentari arahan Ahmad Yazid Ahmad Puad ini mengisahkan pendekatan politik, cabaran, perjuangan dan usaha Perdana Menteri Malaya Pertama, Tunku Abdul Rahman Putra di dalam penubuhan Malaysia dan bagaimana cabaran ‘Konfrontasi’ oleh Indonesia ditangani melalui saluran diplomatik.
‘Road to Nationhood : The Undeclared War’ merupakan salah satu daripada 3 siri dokumentari arahan Ahmad Yazid yang juga berjaya ditayangkan di saluran dokumentari antarabangsa National Geographic dan tempatan seperti Astro Prima, Astro Awani dan Astro Maya HD.
Justeru, para tetamu yang hadir di tayangan umum yang diadakan di GSC, Nu Sentral, Kuala Lumpur ini telah berpeluang menghayati pahit getir perjuangan Bapa Kemerdekaan di dalam mendukung usaha-usaha mencapai kemerdekaan dan memupuk permuafakatan pada waktu itu.Turut hadir bersama-sama memeriahkan tayangan ini adalah Puan Lina Teoh, Pegawai Eksekutif MyDocs, Ahmad Yazid Ahmad Puad, Pengarah filem, para penggiat industri, rakan-rakan media dan pencinta filem.