Oleh : Ahmad Syazli Muhd Khiar
syazli@finas.my
Perjuangan figura hebat kelahiran Ipoh, Perak selama lebih 45 tahun di dalam industri seni tanahair ini tidak dapat disangkal lagi. Begitu pekat darah seni yang mengalir di dalam tubuh beliau sehinggakan pengalaman hebat sebagai juruhuhebah radio, pelakon, pengarah, penulis, penari, penerbit, penyanyi, guru lakonan dan aktivis teater ini seakan tidak dapat dihentikan biarpun usianya menghampiri 64 tahun. Inilah seniwati yang dihormati, Puan Hajjah Fauziah Nawi, buah hati kesayangan Haji Nawi bin Mukri dan Hajah Salmiah binti Sidek ini telah berkongsi kembara seninya bersama penulis. Emosi suka dan duka bercampur baur saat perkongsian santai bersamanya, namun yang jelas, seni ini memang darah dan airmatanya.
●Kembara dan Pengalaman Seni
Saat diajukan tentang ‘versatility’ beliau di dalam bidang seni, Fauziah yang mesra di gelar ibu ini menyifatkan pengalaman hidup dan kasihnya pada seni memberi kekuatan untuknya meneroka pelbagai bidang seni dan tidak akan pernah berhenti. “Versatility itu refleksi kemahuan membangunkan potensi diri dan tidak datang sendiri, wajib ada guru, ilmu dan sifat merendah diri kerana nilai seni itu sungguh tinggi” ujarnya yang mula terdedah saat bapanya menjalankan operasi kantin di Taman Taman Budaya di bawah Kementerian Kebudayaan dan Sukan pada tahun 70an.
Selain itu, Ibu Fauziah juga telah berpeluang berguru dan menuntut seni teater dgn Ahmad Yatim dan Matari Rahman dan seni tarian bersama Seniman Negara Allahyarharmmah Khatijah Awang dan Allahyarham Syed Manaf. Bakat tariannya juga diasah apabila memasuki kumpulan Seni Tari Kuala Lumpur di Kompleks Budaya Negara, Jalan Tun Ismail di bawah bimbingan Arwahyarham M.Iskandar. Pengalaman sebagai juruhebah di Radio Televisyen Malaysia dari tahun 1976-1995 juga disifatkan anugerah indah di dalam lapangan seninya sehingga pernah dianugerahkan Most Versatile Broadcaster RTM. Antara program radio yang pernah dikendalikan ialah Morning Show, Your Host, Non Stop Music, Before We Say Good Nite, Fascinating Malaysia, Manis-Manis Garam dan sebagainya
.
Bakat dan potensi lakonan hebat beliau terus digilap sehingga hari ini melalui pentas teater teater dengan projek-projek hebat sebagai pengarah seperti Nona-nona Kuala Lumpur, Primadona, Dari Bintang Ke Bintang 1 & 2, Opera Ayu Cendana & Muzikal Tok Rimau 1, Lorong Blues, Topeng-topeng dan sebagai pemain di antaranya untuk teater Salina, Angin Kering, Malam Gelap Bukit Damansara, Korporat, Si Bereng Bereng, Pulang, Antara, Rubiah, Kasih Menanti, Opera Siti Zubaidah, Tok Perak, Members of the Club, Tali, Cinta Julia dan Kena Main.
Kemampuan Ibu Fauziah di layar perak juga terbukti dengan diangkat sebagai Pelakon Pembantu Wanita Terbaik di Festival Filem Malaysia ke 12 menerusi filem Sayang Salmah selain karya-karya seperti Mawar Merah, Maut, Horee Horee, Akhirat, Berlari Ke Langit dan yang terbaru Mencari Rahmat. Ratusan drama yang dibintangi seperti Daun Ketupat Kering, Ombak Laut China Selatan, Jejak Karmila, Pondok Buruk termasuklah yang diarahkan beliau seperti Azlina, Egois, Baju Pengantin Kak Long, Di Tebing Khatulistiwa dan banyak lagi telah memberikan beliau peluang lebih meneroka spektrum seni dan kemanusiaan.
“Seni itu memanusiakan kita, ada ruang dan pelajaran hebat untuk menjadi manusia yang lebih baik” ujar ibu tersenyum dalam.
●Lantang dan Ekspresif
“Lantang itu perlu dilihat dari isinya, menjadi jujur itu perlu kejujuran” ujar Ibu Fauziah apabila kejujuran dan kelantangannya menyatakan pendapat mungkin digeruni dan disalah anggap. Bagi beliau, setiap pandangan adalah bersifat peribadi dan tidak menghukum kerana ianya perlu berlandaskan fakta, cinta, ilmu dan juga pengalaman. Menjadi anak seni dengan pelbagai cabaran pahit dan manis tentunya memberikan beliau peluang untuk terus melihat industri seni, penggiat dan sistemnya supaya lebih dihormati.
“Ibu pernah berkerja dan berdampingan bersama legenda agung seni tanah air, Tan Sri P. Ramlee dan biduanita Saloma di mana sifat dedikasi dan semangat perjuangan seni mereka begitu kuat kerana mereka begitu hormat akan amanah kerja mereka biarpun menempuh seribu satu cabaran” jelasnya yang mengambil semangat tokoh-tokoh yang terus mengangkat seni mereka ke tahap yang lebih baik.
“Suara ibu adalah ibarat kasih ibu pada seni ini, bukan untuk diri ibu, untuk seluruh pasukan” tambah beliau yang amat percaya kejayaan seseorang individu adalah turut disumbang semangat dan tenaga satu pasukan.
●Allahyarham Mustaffa Noor dan Sidi Oraza
Berbicara mengenai salah seorang aktor terbaik negara, Allahyarham Mustaffa Noor yang memenangi Pelakon Lelaki Terbaik FFM7 di dalam filem Mawar Merah arahan Dato’ Rosnani Jamil. Menurut ibu Fauziah, arwah Mustaffa adalah aktor yang sangat berilmu, bijak dan memudahkan gandingannya untuk memberi yang terbaik. “Lihat sahaja bagaimana permainan emosi dalamannya dengan hentakan konflik hebat mencintai anak saudara kandungnya sendiri yang dibawakan Raja Ema” jelas beliau yang mengenali gurunya ini dari pentas teater lagi. Untuk filem tersebut juga, ibu kepada dua orang anak ini juga dicalonkan untuk Pelakon Pembantu Wanita Terbaik di FFM ke 7.
Sifat dan kesungguhan yang sama juga dipuji ibu Fauziah untuk Aktor Terbaik Festival Filem Malaysia ke 12, Sidi Oraza yang membawakan watak Hassan yang sentiasa mempunyai sifat ingin tahu, membuat penyelidikan dan menjadi rakan lakon yang sangat baik. Tidak dinafikan gandingan ibu Fauziah sebagai Dasimah seorang yang berjuang memelihara anaknya Hassan yang menghidap ‘schizophrenia’ akibat tekanan hidup di dalam filem Sayang Salmah arahan Dr. Mahadi J. Murat bagi pandangan penulis sebagai di antara gandingan terbaik di dalam filem tempatan.
“Ibu juga melihat ini sebagai proses pembelajaran bersama melalui persekitaran, pengalaman dan ilmu rakan-rakan pasukan yang lain kerana ada sesuatu di dalam mereka yang mampu menjadikan kita lebih baik”.
●Naskhah dan Kualiti
Dibesarkan di dalam ekosistem industri yang mementingkan disiplin, komitmen, kerja keras dan keseriusan, ibu Fauziah percaya bagaimana naskhah dan kualiti kandungan drama, filem dan teater berbeza ketika itu kerana misinya berbeza.
“Seni itu ibarat juadah lazat yang ada resipinya dan harus dipelajari untuk mendapat nikmatnya, kepuasan berkarya itu menjadi lebih utama berbanding wang” jelas beliau yang bertuah kerana arwah bapanya menjadi pengusaha kantin di Taman Budaya, Jalan Ampang di mana segala aktiviti kesenian sedikit demi sedikit meresapi dirinya.
“Ibu cukup bertuah kerana dapat berguru dengan insan-insan hebat seperti Ahmad Yatim dan Allahyarham Mustafa Noor yang mengajar kita menghormati dan menghayati sesebuah naskah. Contohnya skrip, adalah pantang larang untuk mengubah, menambah atau mengurang sepatah perkataan pun kerana di situlah letaknya disiplin seseorang aktor untuk hormat akan kerja dan amanahnya” tegasnya lagi. Kerana itu, pembelajaran secara langsung di pentas teater akan memberikan ilmu dan panduan buat para pelakon untuk mempelajari aspek seni lakon yang baik.
Tidak menghakimi fenomena penerbitan drama dan filem kini yang berkiblatkan komersil dan populariti oleh produser atau penyiar, baginya ia perlu seiring dengan pembangunan kualiti yang baik kerana pengaruh dan tahap seni itu sangat tinggi sehinggakan mampu menjana ekonomi sesebuah negara.
“Pendidikan seni dan budaya adalah di antara teras pembangunan bangsa dan negara dan ianya mampu mendidik generasi untuk kenal dan hormat akan akar dan budayanya”.
●Sanggar Teater Fauziah Nawi (STEFANI)
“Ibu tidak mampu tinggalkan harta tapi seni ini sajalah yang kita boleh kongsi dan pelihara” tutur sayu pemilik produksi teater berjiwa besar yang dinamakan Sanggar Teater Fauziah Nawi (STEFANI) ini. Baginya, gelanggang teater ini terlalu luas impak sosio budayanya dari aspek pembangunan potensi, penyatuan dan pendidikan. Biarpun bertatih dan berjuang untuk terus membangunkan produksi ini, beliau bersyukur kerana masih wujud rakan-rakan seperjuangan yang terus mengangkat seni teater sambil merujuk kepada nama-nama seperti Khalid Salleh, Namron, Sabri Yunus, Fatimah Abu Bakar, Dato’ Faridah Merican, Sabera Shaik, Anne James dan Tan Sri Johan Jaafar. Kembara seni teater ini juga telah membawa ibu Fauziah menjelajah beberapa buah negara seperti Singapura dan UK yang memberikan beliau kekuatan untuk terus melihat seni ini diletakkan di tahap yang tinggi.
“Harus diingat, bukan wang ringgit yang kita tinggalkan kepada anak cucu kita tetapi legasi ilmu dan seni inilah sebelum hilang ditelan zaman” jelas ibu Fauziah yang terus aktif menganjurkan kelas-kelas lakonan dan menjadi guru lakon buat pelakon dan pencinta seni.
Baginya, kelas lakonan adalah sangat penting sebagai persediaan seseorang pelakon untuk bertarung di gelanggang seni lakon dan kerana itulah STEFANI yang ditubuhkan dari tahun 2003 juga ibarat rumah seninya di mana anak-anak muda berkumpul dan berguru ibarat sebuah keluarga. Biarpun berhadapan cabaran, tentunya beliau berbangga dengan projek-projek seperti Ayu Cendana, Tok Rimau, Perjalanan Bu Aminah, Malam Tujuh Drama, Orang Kota Bahru, Topeng-Topeng dan Dari Bintang Ke Bintang, Monolog Tiga Wajah dan banyak lagi adalah di antara teater terbitan Stefani yang aktif dipentaskan di beberapa tempat di seluruh negara. Penerima Anugerah Tokoh Karyawan Teater 2016 ini percaya benih-benih usaha ini akan menyuburkan lagi semangat mencintai seni dan budaya khususnya buat generasi muda.
Mengakhiri perbualan, ditanya tentang semangat dan inspirasinya, wajah kedua ibu-bapanya yang berjuang memberikan beliau dan adik beradiknya sebuah kehidupan biarpun berdepan kesukaran dan cabaran akan terus bersemadi sepanjang hayatnya.
“Fauziah akan terus menjadi kebanggaan ayah dan ibu”.