Kuala Lumpur, 7 November – Bersempena penganjuran Urbanscapes Festival 2018, Kelab Seni Filem Malaysia dan Cinephilia meraikan pembangunan jaringan ilmu menerusi tayangan dan apresiasi filem-filem tempatan yang telah menterjemah visual naratif dan lensa sinematik bandaraya Kuala Lumpur yang melatari dimensi cerita, konflik dan emosi para penghuninya.
Menampilkan filem arahan Woo Min Jin, “KL Zombi” (2013) terbitan Grand Brilliance & Lightbulb Pictures yang diadaptasi dari novel ‘Zombijaya’ nukilan Adib Zaini ini menggabungkan elemen aksi, komedi dan seram mengenai dunia apokalips dengan metafora ‘kemusnahan’ akibat penularan virus zombi yang melanda bandaraya sehingga seluruh negara akibat gigitan seekor anjing dan bagaimana Nipis berusaha menyelamatkan sahabat-sahabatnya daripada epidemik dan mencari ruang ‘escapism’ bagi perlindungan. Filem lakonan Zizan Razak, Siti Saleha, Iedil Putra, Zain Hamid, Azhan Rani dan Izara Aishah ini juga terpilih sebagai ‘Official Selection’ di Puchon International Fantastic Film Festival (PiFan) di Korea pada tahun 2014.
Hadir sama pada sesi tayangan dan apresiasi di Urbanscapes House 2, Jalan Hang Kasturi ini ialah pengarahnya, Woo Min Jin yang telah berkongsi secara dua hala mengenai aspirasi, falsafah, pemikiran dan pembikinan bersama khalayak dan para pencinta filem tempatan yang hadir.