Kuala Lumpur, 21 September- Setelah kejayaan buku pertama bertajuk ‘Yasmin How You Know?’, Leo Burnett dengan kerjasama Kinokuniya Book Store hari ini telah melancarkan buku kedua berjudul ‘Yasmin I Lup Chew’ yang memfokuskan kepada eksplorasi inspirasi dan kreativiti Allahyarhamah Yasmin Ahmad dari isi kotak kasut beliau yang menjadi rumah kepada idea-idea dan kenangan peribadi karya seni ciptaan beliau.
Ditulis dalam bentuk santai tetapi padat dengan kesenian persis peribadi Yasmin Ahmad sendiri, majlis pelancaran buku ini juga diikuti dengan tayangan dokumentari biografi bertajuk Yasmin-San arahan Edmund Yeo. Turut hadir YBhg. Datin Orked Ahmad, Pengerusi Persatuan Yasmin Ahmad, Encik Tan Kien Eng, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Publicis One Malaysia dan Ketua Pegawai Eksekutif Leo Burnett Malaysia, Edmund Yeo, Pengarah dokumentari Yasmin-San, para pelajar universiti dan kolej, para penggiat seni, rakan-rakan media dan jemputan lain.