Sekalung tahniah buat filem ‘Redha’ karya Pengarah Harapan FFM29, Tunku Mona Riza yang telah memenangi anugerah “Cultural Exchange Prize for a Feature Film” yang telah dipilih barisan juri berdasarkan kekuatan subjek tempatan yang bersifat universal yang telah diolah dengan berkesan melalui medium filem di 6th Seoul Guro International Kids Film Festival, Korea Selatan (Gukiff). Bersaing dengan 15 karya terbaik dari seluruh dunia di dalam kategori ‘International Feature Film Competition’, kejayaan terbaharu ini mencipta rekod kepada filem Redha yang merangkul 11 anugerah di pelbagai festival filem antarabangsa dari tahun 2016. Gukiff 2018 ini adalah festival filem berprestij di Korea yang mengangkat karya-karya berkualiti menerusi subjek golongan muda termasuklah kanak-kanak melalui medium filem.
“Syukur alhamdulillah, kejayaan ke 11 buat Redha ini di peringkat antarabangsa membuktikan sinema kita mampu merentas dunia dan diharapkan ia terus menyuntik semangat kami untuk menghasilkan karya-karya yang berkualiti di masa hadapan” ujar Tunku Mona yang berada di Seoul bagi menerima anugerah tersebut yang dijadualkan pada malam esok (17 Mei 2018). Berlangsung dari 10-17 Mei 2018 ini dengan mempertaruhkan kategori utama seperti Gukiff Live Action Short; Gukiff Kids Documentary Feature; Gukiff Kids Documentary Short; Gukiff Kids Animated Feature and Gukiff Kids Animated Short, pemenang membawa pulang wang tunai berserta trofi.
‘Redha’ ataupun ‘Beautiful Pain’ terbitan Current Pictures Sdn Bhd dengan lakonan hebat Nam Ron (Pelakon Lelaki Terbaik FFM29), June Lojong (Pelakon Wanita Harapan FFM29) , Nadiya Nisaa, Remy Ishak, Adik Harith Hadziq (Pelakon Kanak-Kanak Terbaik FFM29), Izzy Reef, Ruminah Sidek, Susan Lankester dan ramai lagi ini berinspirasikan kisah sebenar mengenai perjuangan, pengorbanan dan kasih sayang ibu bapa dan keluarga di dalam membesarkan anak istimewa yang menghidap autisme.