Kuala Lumpur, 31 Julai – SRAM & MRAM Technologies and Resources Limited menandatangai perjanjian memorandum persefahaman bersama Produksi Seni 2020 Sdn Bhd yang disaksikan oleh YBhg. Dato’ Fauzi Ayob, Ketua Pengarah FINAS di Hotel Royal Chulan Kuala Lumpur yang mewakili YB Tuan Eddin Syazlee Shith, Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia hari ini.
Di dalam ucapannya perasmiannya, Dato’ Fauzi Ayob telah mengucapkan tahniah di atas kerjasama produksi dan pemasaran antarabangsa oleh Produksi Seni 2020 Sdn Bhd bersama kru-kru drama siri ‘Moonlight Saigon’ yang diketuai oleh pengarah Mark Tham dan Encik Taha, Pengurus Produksi yang tentunya seiring dengan visi kerajaan bagi memacu ekonomi industri melalui kerjasama strategik dan pelaburan di antara negara.
Terdahulunya, SRAM & MRAM Technologies and Resources Limited telah memilih untuk bekerjasama dengan Produksi Seni 2020 Sdn Bhd dan kru-kru produksi Vietnam dan Malaysia untuk mengeksport kandungan kreatif tempatan melalui projek Dana Jupiter XII yang turut menjana perkongsian bakat, kemahiran, kepakaran dan potensi pasaran di peringkat global. Beliau juga telah merasmikan drama bersiri bertajuk ‘Moonlight Saigon’ yang menterjemah penceritaan berlatarbelakangkan lanskap budaya Malaysia dan Vietnam.
Turut hadir ke program ini adalah YBhg. Datin Wendy Wong, Pengerusi Dana Jupiter XII, Dr. Sailesh Lachu Hiranandani, Pengerusi SRAM & MRAM Technologies and Resources Limited, YBhg. Datuk Nancy Foo, Pengasas Produksi Seni 2020 Sdn Bhd, YBhg. Dato’ Ram Nair, Pengurus Operasi SRAM, Encik Pardeep Batra, Pengurus dan pemilik Spice Garden Chain Restaurants, Puan Mary Mam, Ketua Pengurus ASEAN & Amerika Selatan SRAM, para penggiat industri, rakan-rakan media dan tetamu jemputan lain.