PUTRAJAYA, 11 Dis – Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) telah menganjurkan Majlis Pelancaran Awal Communications & Multimedia Blueprint CMB 2018-2025 yang telah disempurnakan oleh YB Dato’ Sri Dr Jailani Johari, Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia di Dewan Serbaguna KKMM hari ini. Blueprint CMB 2018-2025 bagi memperkasa dan memperkukuh sektor Komunikasi dan Multimedia Malaysia (K&M) ini telah dibangunkan secara komprehensif dan holistik serta melibatkan kerjasama pelbagai kementerian, agensi kerajaan, industri dan persatuan dengan visi ke arah pembangunan masyarakat yang terhubung dan berinformasi yang dijana aspirasi dan dasar kerajaan melalui pembangunan ekonomi digital negara dan transformasi perkhidmatan yang mampan kepada rakyat.
Menurut YB Timbalan Menteri, “Pembangunan sektor komunikasi dan multimedia adalah nadi kepada kerajaan melalui pemacuan revolusi teknologi yang sentiasa bergerak pantas namun teras ‘kemanusiaan’ itu yang akan mengawal hala tuju dan impak yang ingin dicapai” ujar beliau sambil menekankan konsep ‘digitise’ dan ‘humanise’ melalui enam (6) imperatif strategik iaitu “Connecting People”, “Strengthening Trust”, “Intensifying Engagement”, “Accelerating Innovation”, “Catalysing Creativity” dan “Empowering Talent” sebagai fokus utama di dalam blueprint ini.
Bersempena dengan Majlis Pelancaran tersebut juga, Kementerian telah menganjurkan forum dengan tagline Digitise and Humanise yang dirasmikan Ketua Setiausaha KKMM Tan Sri Dr Sharifah Zarah Syed Ahmad dengan kehadiran panel-panel terkemuka dari industri serta agensi kerajaan yang berkaitan seperti Ketua Pegawai Digital Telekom Malaysia Bhd (TM) Ahmad Azhar Yahya, Ketua Eksekutif Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) Md Shah Nuri Md Zain dan pengarah terkenal Datin Paduka Shuhaimi Baba yang telah membincangkan dengan lebih lanjut lagi aspirasi utama serta hala tuju sektor K&M yang telah dinyatakan dalam Blueprint tersebut untuk mendapatkan perspektif dan pandangan yang lebih mendalam ke arah penambahbaikan sektor. Turut hadir ke program ini ialah Dato’ Fauzi Ayob, Ketua Pengarah FINAS yang telah mengutarakan input berkaitan pembangunan kandungan dan pemasaran global di dalam perspektif ‘Catalysing Creativity’.
Turut hadir ke majlis tersebut ialah YBhg. Dato’ Dr. Mohd Ali Mohamad Nor, Timbalan Ketua Setiausaha (Operasi) KKMM, YBrs. En. Shakib Ahmad Shakir, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) KKMM, YBhg. Dato’ Samsuni Mohd Nor, Setiausaha Bahagian Kanan (Pengurusan), Ketua-Ketua Jabatan dan Agensi, Ahli-ahli Mesyuarat Tertinggi KKMM, pegawai-pegawai kanan kementerian dan agensi, penggiat industri serta pihak media.