Petaling Jaya, 30 April – Seramai 73 orang pelajar dari Kelab Malaysiaku 2019, Jabatan Penerangan Malaysia yang diiringi pegawai pengiring, Puan Edawati Sulaiman telah berpeluang menyertai Program Integrasi Ilmu dan Sinergi Industri di Kompleks FINAS Petaling Jaya sebentar tadi. Melalui platform pembangunan komuniti industri filem, program seumpama ini memberi peluang kepada generasi muda membina jaringan dua hala bersama FINAS sebagai badan peneraju kemajuan industri filem Malaysia.
Selain lawatan berpandu ke pameran khazanah, teknologi dan inovasi perfileman termasuk pendigitalan dan restorasi kandungan, delegasi juga telah menjana pengetahuan melalui program Eksplorasi Sinema mengenai perspektif sejarah pembangunan industri filem selain Lensa FINAS yang merupakan program perkongsian ilmu mengenai aspirasi, fungsi dan strategi FINAS di dalam pemerkasaan industri.
Selain itu, melalui platform Sembang Skrin yang diselia Encik Ahmad Junaidi Reappai, Ketua Penolong Pengarah Unit Mediatheque bersama Cik Atiqah Amira Mohd Noor, Penolong Pengarah Komunikasi Korporat, para pelawat telah diberi ruang untuk sesi soal jawab dan perkongsian interaktif mengenai sinema Malaysia.