Hulu Kelang, 21 Februari– Majlis Penutup dan Penyampaian Sijil Bengkel Asas telah diadakan di Concourse, FINAS Hulu Kelang. Bengkel yang dianjurkan oleh Pertubuhan Kebajikan Artis-Artis Pelapis (PERKAP) dan Unit Latihan Industri, Bahagian Pembangunan Industri FINAS dengan sokongan SENIMAN ini telah berlangsung selama 3 hari bermula 19 hingga 21 Februari 2018 yang disertai seramai 25 orang peserta di bawah kendalian tenaga pengajar berpengalaman yang juga karyawan industri yang dihormati, Puan Hajah Fauziah Nawi dan Pelakon Lelaki Terbaik FFM29, Nam Ron.
Majlis penutup dan penyampaian sijil kepada para peserta telah disempurnakan oleh Tn Hj Abdul Khalid Maulod, Pengarah Pembangunan Industri FINAS yang telah menyentuh peranan kerajaan melalui FINAS bagi menyokong usaha pembangunan modal insan dan sinergi ilmu kepada karyawan pelapis sebagai platform pemerkasaan bakat industri ke tahap lebih serius. Turut hadir ialah penerbit dan pengarah Datuk Yusof Haslam, En.Zed Zaidi, Presiden SENIMAN dan En. Frank Peterson, Presiden PERKAP.
Sepanjang tempoh tiga hari tersebut, para peserta telah diterapkan dengan komponen-komponen seni lakon seperti interpretasi, ekspresi, emosi, lontaran, penjiwaan, disiplin, semangat pasukan, eksplorasi tubuh dan minda dan lain-lain lagi melalui perkongsian ilmu dan pengalaman yang mengujakan. Menurut Fauziah dan Nam Ron, proses perkongsian ilmu melalui platform yang serius seperti bengkel ini akan menjana visi para peserta untuk lebih memahami ekosistem industri dan bersedia dengan pelan pembelajaran interaktif di dalam aspek seni lakon.