Hulu Kelang, 31 Mac – Majlis Penutup dan Penyampaian Sijil Bengkel Lakonan Masterclass ‘Acting’ telah diadakan di Studio Ho Ah Loke, FINAS Hulu Kelang. Bengkel yang dianjurkan oleh Unit Latihan Industri, Bahagian Pembangunan Industri FINAS ini telah berlangsung selama 5 hari bermula 27 hingga 31 Mac 2017 yang disertai seramai 25 orang peserta di bawah kendalian tenaga pengajar berpengalaman yang juga karyawan industri yang dihormati, Puan Hajah Fauziah Nawi dan Puan Fatimah Abu Bakar.
Majlis penutup dan penyampaian sijil kepada para peserta telah disempurnakan oleh Penolong Pengarah Latihan Industri, Cik Siti Nor Aiysha Masarudin. Sepanjang tempoh lima hari tersebut, para peserta telah diterapkan dengan komponen-komponen seni lakon seperti interpretasi, ekspresi, emosi, lontaran, penjiwaan, disiplin, semangat pasukan, eksplorasi tubuh dan minda dan lain-lain lagi melalui perkongsian ilmu dan pengalaman yang mengujakan. Menurut Fauziah dan Fatimah, mereka gembira dapat berkongsi ilmu dan belajar sesuatu daripada kesungguhan para peserta yang rata-rata dapat meneroka potensi bakat mereka dengan lebih dalam lagi.
Turut hadir sebagai peserta bagi lebih mendalami dan meneroka spektrum seni lakon tersebut ialah Tengku Sarina Tengku Mukhzani (Kuna), Nadiya Nisaa, Adam Shahz, Fatin Afifa, Azma Aizal Yusoof, Lia Natalia, Julia Farhana Marin, Megat Sharizal, Bocil Saywho, Jay Iswazir selain penampilan bersama Jasmin Hamid, Sharifah Amani dan Syafie Naswip.