MENCARI SUARA TERPENCIL “KAMI” DAN “SONGLAP” DARI VISUAL JUJUR FARIZA AZLINA & EFFENDEE MAZLAN
Oleh : Ahmad Syazli Muhd Khiar
Penulis pernah mendengar luahan peribadi Shaheizy Sam akan keseronokan meneroka emosi watak Am dalam filem Songlap yang mencipta sejarah menerima 15 pencalonan di dalam Festival Filem Malaysia ke 25 dan memenangi empat anugerah. Kata Sam, ada magis dan keunikan di dalam gabungan pengarah suami isteri ini yang seumpanya di dalam industri filem Malaysia dengan naratif dan visual yang cemerlang di dalam filem Songlap yang pada pandangan peribadi penulis, antara karya sinema kita yang berada di dalam liganya yang sangat baik. Fariza Azlina Isahak & Effendee Mazlan mungkin nama karyawan yang asing bagi penonton, namun mereka bagi penulis adalah karyawan indie generasi baru ketika itu selain James Lee, Wan Hasliza, Tan Chui Mui, Wan Azli Wan Jusoh yang memberi warna dan rasa berbeza melalui filem-filem Malaysia ketika itu. Menemui pasangan ini tanpa sengaja di program FINAS sempena KL Converge 2016 yang lalu membuatkan penulis terus menyelongkar pengalaman mereka di dalam industri kerana jenama filem dan siri Kami dan Songlap ada rasa “sesak dan gelap” yang mengangkat tema kemanusiaan dan universal melalui suara terpencil di dalam masyarakat.
S1: Fariza Azlina Isahak & Effendee Mazlan bergerak sebagai pengarah bersama dengan Fariza sebagai penulis lakonlayar di mana dua signature dan visi pengarah disatukan sebagai satu. Bagaimana koordinasi ini dilakukan?
●“Taste” kami kebanyakkan sama jadi memang mudah untuk bergerak sebagai satu pasukan. Tiada istilah sukar sebab kami berkongsi suara, rasa dan cerita dalam sesebuah karya itu dan alhamdulillah semuanya dapat direalisasikan.
S2: Songlap dan Kami The Movie mewakili suara terpencil masyarakat dalam dunia kosmopolitan dengan subjek dan isu yang berat; pemerdagangan manusia, sindiket dadah, remaja bermasalah dan lain-lain. Bagaimana social realism yang diangkat secara berkesan tanpa kalian menjadi moralist atau preacher?
●Filem bagi kami adalah manifestasi suara dan cerita berdasarkan pemahaman kami. Ia betul, kami bukan moralist jadi bergantung kepada pemahaman penonton pula untuk mencari yang tersirat dan tersurat. Suara golongan masyarakat yang ada konflik tersendiri ini memang wujud jadi kita sebagai pencerita, sekadar dengan jujur menyampaikan di dalam bentuk visual sinema. Pendek kata, cerita dengan jujur tanpa bersifat menghukum. Songlap bermain dengan isu-isu kemanusiaan dan global manakala filem Kami The Movie bergerak dari rasa ingin tahu golongan remaja yang mencari suara mereka dengan konflik-konflik di dalam generasi mereka.
S3: Songlap sebuah masterpiece filem yang sangat jujur dan baik dari anda berdua. Aspek lakonan dan ensemble cast seperti Shaheizy Sam, Syafie Naswip, Sara Ali, Hasnul Rahmat, Normah Damanhuri, Omar Abdullah bagi filem ini diberi pembangunan karakter yang sangat kuat tanpa menenggelamkan satu sama lain. Kongsikan?
●Kami memang sangat mementingkan chemistry di antara barisan pelakon dan proses pembangunan dan penceritaan ini menjadi kerana disiplin dan komitmen setiap aktor ini sendiri. Kami memang bertuah kerana barisan pelakon Songlap juga mengkaji dan mewarnai tugas mereka dengan baik. Jika dilihat, watak-watak ini sangat berat dengan konflik sosial yang mendalam berdasarkan realiti semasa.
S4: Filem Kami The Movie dan Songlap secara realitinya tentang suara dan sisi masyarakat yang gelap dengan isu-isu sosial yang berat. Mengapa kegelapan ini tidak diterjemahkan dan distereotypekan melalui kekerasan, keganasan atau kepincangan yang total oleh pengarah? Filem-filem anda secara subtle bertunjangkan dengan elemen pengharapan dan kasih sayang.
●Bagi kami, filem ini sangat subjektif dan sebagai pencerita dan pengkarya, kejujuran itu perlu dekat. Melalui penceritaan ini jugalah kami boleh tonjolkan yang elemen kesakitan dan keperitan suara mereka ini juga dapat dirasakan tanpa dialog dan keganasan yang berlebih-lebihan. Cabaran kreatif kami juga teruji dengan filem-filem bergenre ini bagi mencipta sesuatu yang memberi kesan kerana isu dan subjeknya yang melawan norma . Muzik latar, sinematografi, lakonan, penataan seni dan lain-lain adalah elemen penting yang boleh dikreatifkan bagi memberi mood dan impak yang boleh dirasai penonton.
S5: Seperti Uwei Hj Shaari yang mengangkat suara komuniti terpencil di luar bandar di dalam filem-filemnya seperti Jogho, Perempuan Isteri dan …, Kaki Bakar, saya berpandangan yang sama kepada anda berdua yang cukup gemar membawa suara terpencil di dalam masyarakat urban bandar dengan penonjolan konflik generasi muda? Pandangan anda?
●Filem-filem Uwei dibikin dengan baik dan berjaya membawa karya sinema kita ke persada dunia dan mampu memberi inspirasi kepada pengkarya kita. Seperti yang diceritakan, kami bercerita sesuatu yang jujur dan dekat yang tentunya perlu melalui proses kajian dan pemahaman supaya ianya berlandaskan realisme. Suara terpencil ini memang wujud tetapi isunya melangkaui sempadan kerana konfliknya tetap bersifat universal dan mungkin dihadapi oleh sesiapa pun jua.
S6: Sedikit pesanan buat karyawan baru di dalam industri?
●Tiada apa apa pesanan kerana kami pun masih lagi di dalam proses pembelajaran dari masa ke semasa dan jika ada peluang kepada yang baru “redah” sahaja untuk mengumpul ilmu sebab ini semua adalah pengalaman dan kematangan menjadi pembikin filem yang diinginkan.
Penulis adalah Pengarah Komunikasi Korporat FINAS